'Ajal, maut di tangan ALLAH'

Mohd Solihan
Mohd Solihan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Faktor usia tidak seharusnya dipertikaikan pihak pembangkang sekiranya calon Pakatan Harapan (PH) yang dipilih boleh menjalankan tanggungjawab jika diamanahkan.

Perkara itu diulas Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd Solihan Badri berhubung kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad berkenaan pemilihan calon Bersatu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini yang sudah berusia 66 tahun.

Menurutnya, ajal dan maut adalah ketentuan tuhan dan seharusnya perkara seperti itu tidak dijadikan modal untuk mendapatkan sokongan atau kepercayaan kepada calon BN yang akan dipilih.

“Ajal dan maut itu adalah ketentuan ALLAH SWT, beliau (Hasni) sepatutnya tidak boleh cakap begitu.

“Jika mahu orang muda pun boleh meninggal dunia,” katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai sokongan Bersatu Johor terhadap pemilihan Karmaine sebagai calon, Solihan berkata, perkara itu adalah keputusan yang telah ditetapkan dan parti di peringkat negeri tidak mempunyai sebarang masalah.

“Kita (Bersatu Johor) dari awal lagi dah maklumkan yang sebarang keputusan dibuat, kita akan berikan sokongan dan bantu untuk mendapatkan kemenangan bagi kerusi ini.

“Ini adalah kerusi wakil rakyat daripada kerajaan, jadi kita akan berusaha untuk kekalnya begitu. Kita rasa tiada masalah mengenai calon ini, beliau pun menepati kriteria ditetapkan pimpinan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang berkata, kriteria dimaksudkan itu adalah merangkumi keupayaan, kredibiliti dan status calon sendiri yang merupakan anak jati kawasan berkenaan.

“Kita percaya beliau boleh jalankan tugas sekiranya diberi amanah. Soal sokongan lagi saya rasa tiada masalah, calon juga memang bertugas di sini (Tanjung Piai) dengan menjadi penyelaras Bersatu Bahagian Tanjung Piai,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita di negara ini melaporkan Hasni dilihat seperti memerli keputusan pimpinan PH yang mahukan Karmaine bertanding pada PRK berkenaan.

"Calon mereka saya kira 66 tahun, tahun depan 67 tahun saya harap kita tiada PRK lagi. Penat PRK ni," kata Hasni ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN di Pontian kelmarin..