X

Kindly register in order to view this article
!

Gangguan bekalan air di Gombak dan Kuala Lumpur Khamis ini

Kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air sementara pada Khamis ini.
A
A

SHAH ALAM - Pengguna di Gombak dan Kuala Lumpur bakal berdepan gangguan air sementara untuk tempoh 23 jam bermula 9 malam Khamis ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, gangguan itu berikutan daripada pelaksanaan kerja-kerja kecemasan penggantian injap (Sluice Valve) di kawasan Kolam Air Kepong Estate yang mengalami kebocoran serius.

Menurutnya, kerja-kerja penggantian injap berkenaan adalah kritikal dan perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan insiden di luar jangkaan yang boleh menjejaskan bekalan air kepada pelanggan.

"Bekalan air akan dibuka semula sejurus kerja-kerja pembaikan siap dan disasarkan pulih sepenuhnya pada hari Jumaat pada jam 8 malam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan kerja pembaikan itu, Abdul Raof berkata, sebanyak 120 kawasan di wilayah Gombak dan 57 kawasan di wilayah Kuala Lumpur melibatkan 119,630 akaun pelanggan berdaftar akan terjejas dengan gangguan bekalan air sementara.

Beliau berkata, pelanggan yang terlibat dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan tersebut.

"Air Selangor akan menggerakkan bantuan lori-lori tangki air dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan.

"Pihak kami juga akan mengambil segala usaha bagi mempercepatkan dan melaksanakan kerja penggantian injap ini mengikut jadual dan pemulihan bekalan serta meminimumkan impak gangguan," katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh berhubung dengan Pusat Perhubungan Pelanggan Air Selangor di talian 15300 atau mendapatkan maklumat serta status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa melalui aplikasi telefon bimbit Air Selangor atau laman sesawang www.airselangor.com.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!