Lang Merah tekad kejutkan JDT

Renan (kiri) tidak dapat beraksi pada aksi final Piala Malaysia Sabtu ini ekoran menjalani penggantungan perlawanan. FOTO: MOHD ASYRAAF
Renan (kiri) tidak dapat beraksi pada aksi final Piala Malaysia Sabtu ini ekoran menjalani penggantungan perlawanan. FOTO: MOHD ASYRAAF
A
A
A

Kedah lebih selesa tampil selaku pasukan underdog apabila membuat perhitungan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Bukit Jalil Sabtu ini, lapor WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR.

Begitupun, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, skuad Lang Merah tetap akan memberikan saingan dan berazam mengejutkan Harimau Selatan.

"Atas kertas ramai yang memilih JDT, sebab itu Kedah hadir selaku pasukan bukan pilihan. Namun, saya percaya dengan kemampuan semua pemain-pemain Kedah untuk sekali lagi mempamerkan aksi terbaik selepas usaha keras mereka yang menafikan kemaraan satu lagi pasukan pilihan, Pahang pada peringkat separuh akhir.

"Semua pemain Kedah beraksi sebagai satu pasukan, satu keluarga dan rata-rata pemain yang saya jumpa menyatakan hasrat mahu kembali membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Darul Aman, saya mempunyai keyakinan kepada mereka," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar semalam.

Menurut Mohd Asmirul, kehilangan dua tonggak pertahanan iaitu Renan Alves dan Rizal Ghazali akibat digantung perlawanan pada aksi final nanti langsung tidak menggusarkan KFA.

"Memang Renan dan Rizal tonggak penting Kedah pada setiap perlawanan tetapi kita tidak boleh menyerah awal kerana masih ada pemain lain yang sedia isi kekosongan itu.

"Situasi sama berlaku pada final Piala FA sewaktu menentang Perak apabila kita kehilangan Renan. Namun, barisan kejurulatihan berjaya mengisi kekosongan itu dengan meletakkan Amirul Hisham (Awang Kechik) di posisi itu, ia berjaya dan Kedah muncul juara," ujarnya.

Mohd Asmirul berkata, beliau percaya dengan kemampuan Aidil Sharin Sahak untuk mengemudi Lang Merah di pentas akhir buat kali kedua musim ini dan semua penyokong perlu terus berdiri teguh memberikan sokongan penuh kepada pengendali kelahiran Selangor itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, pihaknya percaya agihan tiket lebih 26,000 kepada penyokong Kedah mampu memenuhi permintaan, sekali gus memberi tonik tambahan kepada Lang Merah apabila berdepan JDT nanti.