Tanah runtuh: 11 rumah sudah dikosongkan

Laporan Sinar Harian berhubung kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kampung Teras minggu lalu.
Laporan Sinar Harian berhubung kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kampung Teras minggu lalu.
A
A
A

LARUT - Sekurang-kurangnya 30 penghuni di 11 rumah di Kampung Teras, Ijok telah berpindah keluar dari kediaman masing-masing berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku Jumaat lalu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Teras, Md Faruddin Mohamad Razid berkata, kesemua mangsa terbabit perlu dipindahkan pada kadar segera kerana keadaan rumah yang berada hampir dengan lokasi runtuhan.

"Setakat ini, 11 kediaman telah dikosongkan termasuk tiga rumah yang ranap dalam tragedi runtuhan minggu lalu.

"Kedudukan rumah-rumah ini terlalu hampir dengan jurang jalan dengan ada antaranya hanya berjarak dua meter sahaja, jadi sebelum keadaan menjadi lebih buruk ada baiknya mereka segera berpindah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, mereka yang terlibat tinggal sementara bersama ahli keluarga lain dan sebahagiannya menumpang di rumah-rumah jiran berhampiran.

"Dalam tempoh dua tiga hari ini, mereka masih dibenarkan pulang ke rumah untuk mengambil barang dan keperluan peribadi itu pun dengan kebenaran dan pengawasan pihak keselamatan kerana dikhuatiri berlaku runtuhan tanah yang tidak dijangka," katanya.

Runtuhan tanah yang berlaku sekitar jam 6.25 petang, 25 Oktober lalu telah mengakibatkan tiga rumah tertimbus, seorang penduduk disahkan meninggal dunia sementara dua wanita dilaporkan cedera.

Kejadian itu berpunca daripada tanah runtuh di Seksyen 16.4 Jalan Rantau Panjang-Lata Tinggi menyebabkan pergerakan tanah berlaku sepanjang 200 meter.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, kerajaan negeri telah menasihatkan agar penghuni di 50 rumah di kampung itu berpindah bagi tujuan keselamatan.

Mengulas lanjut, Md Faruddin berkata, selain 11 kediaman itu, kawasan rumah penduduk yang lain dimaklumkan masih selamat untuk didiami.

"Kerajaan telah bersetuju untuk membina semula tiga rumah yang rosak akibat runtuhan itu di tapak lain yang lebih selamat.

"Baki lapan rumah lagi akan diputuskan sebaik penilaian keselamatan dibuat JKR (Jabatan Kerja Raya)," katanya.