Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat sedikit kepada 482 mangsa daripada 118 keluarga setakat jam 8 malam ini, berbanding 478 mangsa melibatkan 116 keluarga, petang tadi.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, mangsa yang terjejas berikutan hujan lebat berterusan masih ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) dengan empat daripadanya di daerah Kluang, dua di Kulai dan masing-masing satu di daerah Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru.

"Sebuah PPS iaitu Dewan Parit Hassan telah ditutup pada pukul 8 malam tadi berikutan lima mangsa daripada sebuah keluarga dibenarkan pulang ke rumah.

"Bagaimanapun, sebuah lagi PPS baharu dibuka di Kulai iaitu Surau Kampung Sungai Siam yang menempatkan 46 mangsa daripada 10 keluarga jam 4 petang tadi," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Tan berkata, di Kluang, PPS Balai Raya Kampung Parit Haji Hashim pula meningkat kepada 21 mangsa (tujuh keluarga) dan Dewan Kampung Kolam Air kekal dengan 35 mangsa (sembilan keluarga).

"Manakala di daerah Kulai, seramai 161 mangsa daripada 36 keluarga ditempatkan di Masjid Al Muhajrin, Kampung Melayu Bukit Batu dan di Johor Bahru pula, PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Daya 2, jumlah mangsa berkurangan kepada 26 mangsa daripada enam keluarga.

"Selain itu, daerah Batu Pahat dan Pontian, masing-masing kekal satu PPS yang masih dibuka iaitu SK Sungai Kajang dan SK Melayu Raya," katanya.

Katanya, jumlah mangsa kekal dengan 16 mangsa (tiga keluarga) di SK Sungai Kajang, manakala di Pontian, 88 mangsa (20 keluarga) ditempatkan di SK Melayu Raya. - Bernama

Artikel Berkaitan: