Timbalan Speaker DUN Perak tewas pemilihan semula Amanah

Khairol Najib (berdiri) memberikan ucapan selepas dipilih sebagai Ketua Amanah Kawasan Tanjung Malim.
Khairol Najib (berdiri) memberikan ucapan selepas dipilih sebagai Ketua Amanah Kawasan Tanjung Malim.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Pemilihan semula Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Tanjung Malim semalam mencipta kejutan apabila Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Aminuddin Zulkapli yang menang sebelum ini tewas.

Beliau yang dilantik sebagai Ketua Amanah Kawasan Tanjung Malim dalam pemilihan pada 17 Ogos lalu gagal berada di dalam senarai 15 undi tertinggi daripada 20 calon yang bertanding sebagai ahli jawatankuasa Amanah Tanjung Malim.

Difahamkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang itu hanya mendapat 20 undi daripada 58 perwakilan sekaligus tidak melayakkannya untuk dilantik semula sebagai ketua mahupun kepimpinan di peringkat kawasan.

Amanah Kawasan Tanjung Malim kini diterajui Pengarah Pembangunan Kepimpinan Pemuda Amanah Nasional, Khairol Najib Hashim yang menang dalam pemilihan tersebut.

Kemenangan itu juga menjadikan Khairol Najib menjadi pemimpin paling muda menerajui kepimpinan Amanah di peringkat kawasan.

Selain Ketua Amanah Kawasan, beberapa jawatan lain turut menampilkan muka baharu antaranya Khalili Kasim yang dilantik sebagai timbalan ketua manakala Dr Fauziah Hanim dan Sobri Abd Rahman masing-masing dilantik sebagai naib ketua.

Bercakap kepada Sinar Harian, Khairol Najib berkata, pemilihannya sebagai ketua Amanah kawasan sesuatu yang tidak dijangka.

Katanya, sebelum pemilihan semula, memang ada sokongan diterima daripada perwakilan untuk berada di dalam jawatankuasa Amanah Kawasan Tanjung Malim.

Artikel Berkaitan:

"Secara peribadi saya tidak meletakkan apa-apa harapan tinggi mahupun jangkaan untuk diberi kemenangan. Tapi saya tidak menyangka akan diberi mandat sebagai Ketua Kawasan Tanjung Malim.

"Namun bagi menghargai kepercayaan yang diberikan saya terima dan akan berusaha untuk merangka dan melaksanakan beberapa program pemerkasaan parti di peringkat kawasan selain memenuhi harapan mereka untuk mengukuhkan kedudukan Amanah di Tanjung Malim," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengambil keputusan tidak bertanding pada pemilihan semula Amanah Kawasan Gopeng apabila meminta kemenangan 15 ahli jawatankuasa kawasan tersebut sebelum ini dikekalkan

Pemilihan semula beberapa Amanah di peringkat kawasan di seluruh negara dilaksanakan atas arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) disebabkan masalah teknikal.