X

Kindly register in order to view this article
!

Tanah runtuh mungkin berlaku lagi: MB Perak

Ahmad Faizal (empat dari kiri) menandatangani plak merasmikan gelanggang bola keranjang, Pusing hari ini.
A
A

BATU GAJAH - Kerajaan Perak menasihatkan penduduk Kampung Teras, Kampung Masjid IJok, Batu Kurau untuk meninggalkan sementara kediaman mereka agar kejadian tanah runtuh yang mengorbankan satu nyawa, Jumaat lalu tidak berulang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlakunya gelungsuran tanah berikutan faktor hujan berterusan di kawasan terbabit.

“Setakat ini, kita telah menyediakan surau dan dewan untuk mereka duduk sementara. Kita dapati ramai penduduk atau mangsa memilih tinggal bersama sanak-saudara mereka.

“Bagaimanapun, agensi terlibat sedang melihat apakah punca sebenar dan potensi akan berlaku lagi kejadian itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan gelanggang bola keranjang dan sambutan Hari Deepavali di Pusing di sini hari ini.

Menurutnya, tiada tempoh masa ditetapkan kepada penduduk untuk meninggalkan kediaman mereka.

“Kerajaan nasihatkan penduduk tinggalkan rumah sehingga keadaan benar-benar selamat.

“Bila ada maklumat, kita akan kongsi bersama penduduk setempat. Ada kemungkinan berlaku gelungsuran tanah dan kita perlu lihat sebaiknya di semua kawasan berhampiran,” katanya.

Semalam, sejumlah 50 keluarga diarahkan berpindah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak risiko berlakunya runtuhan.

Jumaat lalu, bekas bilal Masjid Toh Paduka Batu Kurau, Hanudin Bahazim, 60, dilaporkan tertimbus dalam kejadian itu berjaya ditemukan oleh anggota bomba yang menjalankan kerja-kerja menyelamat sekitar jam 10.31 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh: Lelaki tertimbus ditemukan maut