Air naik paras paha, kereta diparkir bawah rumah tenggelam

Keadaan sebuah kereta Proton Saga yang ditenggelami air, semalam.
Keadaan sebuah kereta Proton Saga yang ditenggelami air, semalam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Hujan berterusan sehingga menyebabkan kejadian banjir di Kampung Rantau Panjang, di sini menenggelamkan sebuah kereta Proton Saga yang diparkir di bawah rumah, di sini semalam.

Kejadian jam 8 pagi itu turut menyebabkan empat rumah penduduk di kampung itu dinaiki air setinggi lebih satu meter dan hanya beransur surut hari ini.

Seorang penduduk, Junainah Marasid, 40, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama suami dan tiga anak mereka pulang ke kampung di Teluk Intan.

"Anak sulung saya yang berada di rumah menghubungi saya memaklumkan rumah kami dilanda banjir dan sebaik tiba, kami dapati air dah mencecah paras paha.

"Kejadian itu menyebabkan kereta terbabit tidak sempat dialihkan ke tempat yang lebih selamat," katanya.

Junainah berkata, kejadian banjir itu berlaku apabila hujan lebat berterusan lebih tiga jam mengakibatkan paras air sungai tinggi, lebih-lebih lagi kawasan berkenaan rendah dan berhampiran sungai dan lombong terbiar.

"Keadaan ini bertambah teruk sekiranya berlaku fenomena air pasang besar," katanya.

Junainah berkata, walaupun banjir di kawasan berkenaan semakin surut, namun keadaan air di bawah rumah masih bertakung.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, dia meminta pihak berwajib termasuk wakil rakyat dan ketua kampung turun padang setiap kali banjir melanda kawasan berkenaan sebagai tanda prihatin di samping menghulurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk ditimpa musibah.

"Kami juga berterima kasih kepada kontraktor bertanggungjawab yang mengorek dan mendalamkan lagi parit berhampiran bagi memudahkan pengaliran air terus ke sungai," katanya.