Presiden Azerbaijan puji ucapan Dr Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disambut Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev setibanya di Istana Presiden semasa melakukan kunjungan hormatnya hari ini. -Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disambut Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev setibanya di Istana Presiden semasa melakukan kunjungan hormatnya hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

BAKU - Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev memuji ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) Ke-18 di sini, semalam.

“Ucaptama anda semalam adalah sangat hebat, ia adalah visi yang berpandangan ke hadapan, pendekatan terbuka terhadap isu-isu penting dan anda sentiasa mempertahankan keadilan,” kata presiden itu kepada Dr Mahathir semasa pertemuan mereka di Istana Presiden, di sini hari ini.

Dalam kunjungan hormat Dr Mahathir ke atas presiden itu, Ilham berkata, Perdana Menteri berusia 94 tahun itu adalah di sebalik transformasi Malaysia yang mengagumkan dan Azerbaijan berharap dapat berkongsi pengalaman Dr Mahathir.

Kedua-dua pemimpin tersebut turut membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Azerbaijan dengan bersetuju memperkukuhkan kerjasama khusus dalam sektor tenaga dan pelancongan​​.

Selepas pertemuan selama 20 minit itu, Dr Mahathir memberitahu media Malaysia, bahawa beliau berharap Azerbaijan, selaku pengerusi baharu NAM, dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan memastikan badan itu bersatu dan relevan dalam era Perang Dingin.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia buka kedutaan untuk Palestin: Tun M

Beliau berkata, Malaysia sentiasa mengekalkan dasar mesra terhadap setiap negara.

Mengenai hubungan dua hala dengan Azerbaijan, Perdana Menteri berkata, Malaysia berharap dapat mengembangkan kerjasama dan sektor perdagangan dan pelancongan dengan negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Tidak banyak rakyat Malaysia yang tahu tentang Azerbaijan walaupun ada sebilangan yang tahu Baku kerana tapak-tapak sejarahnya. Ada beberapa rakyat Malaysia yang tinggal di sini dan sudah tentu kita ada Petronas di sini,” katanya.

Selepas kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik pada 5 April 1993, Azerbaijan membuka kedutaannya di Kuala Lumpur pada Jun 2007, manakala Kedutaan Malaysia di Baku dibuka pada 1 April 2014.

Susulan pembukaan Kedutaan Malaysia di sini, Petronas memulakan operasi di sini pada 2015 dan sehingga kini pelaburannya di negara itu dianggarkan bernilai AS$5 bilion (RM20.93 bilion). - Bernama