Jumlah balai bomba di Sabah tak cukup

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Sook Keningau kira-kira 42 Kilometer dari sini hari ini. -Foto Bernama
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Sook Keningau kira-kira 42 Kilometer dari sini hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KENINGAU - Sabah ketika ini mempunyai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) berjumlah 24 buah sahaja, satu jumlah yang memang tidak mencukupi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, oleh kerana Sabah mempunyai banyak kawasan pedalaman terpencil dan berair, pihaknya telah mencadangkan lebih banyak BBP kategori E dibina khusus untuk keperluan penduduk di kawasan berkenan.

"BBP kategori E boleh dibina dengan anggaran kos RM300,000 hingga RM500,000 yang boleh dikendalikan oleh anggota pasukan bomba sukarelawan terlatih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan BBP Sook terletak kira-kira 42 kilometer dari Pekan Keningau, di sini hari ini.

Zuraidah berkata, BBP Sook itu adalah daripada kategori D yang dibina untuk memberi perkhidmatan kebombaan kepada penduduk setempat khususnya di daerah Sook dan Pensiangan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, bangunan BBP yang bernilai RM6.09 juta itu mula dibina pada 21 Disember 2016 dan siap sepenuhnya pada 18 April lalu.

Beliau berkata, bangunan itu dibina di atas tapak seluas tiga hektar yang dilengkapi dengan kemudahan empat buah kuarters, jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan mempunyai seramai 28 anggota termasuk 18 pegawai bomba bantuan.

Katanya, pembinaan BBP Sook itu menjadikan jumlah keseluruhan balai bomba yang beroperasi sepenuhnya di Sabah kini adalah 24 buah.

"Dalam tempoh terdekat ini, dua lagi projek balai bomba baharu sedang dalam pembinaan iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Putatan serta Balai Bomba dan Penyelamat Pitas," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: