MU sah kekal khidmat Zainal Abidin Hassan

No Image Caption
A
A
A

KHIDMAT Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan akan dikekalkan untuk membimbing skuad Sang Kancil musim hadapan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa), Adly Zahari berkata, walaupun gagal mencapai sasaran memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini, Zainal Abidin, 58, dilihat berpengalaman luas dan masih relevan bagi memastikan Melaka United dapat memperbaiki kedudukan pada musim depan.

"Kita bermula agak cemerlang di awal musim, namun faktor kecederaan pemain memberi cabaran kepada pasukan pada pusingan kedua menyebabkan prestasi pasukan agak terganggu.

"Jadi pada musim seterusnya, kita akan membiarkan beliau membuat perancangan bagi pasukan ini selain menilai potensi-potensi baharu untuk diketengahkan," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan program Bazar Peduli Rakyat Negeri Melaka di Bukit Baru di sini hari ini.

Adly yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, bagi saingan musim depan, persediaan lebih awal akan dilakukan bagi membentuk barisan terbaik selain memberi bayangan lebih ramai pemain muda akan dibawa masuk membarisi pasukan negeri Hang Tuah itu.

"Kita akan lihat potensi fizikal pemain dan ia akan ditentukan oleh Zainal tetapi majoritinya adalah pemain muda selain melihat bajet keseluruhan yang diperlukan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: