Lima kanak-kanak tabika cedera terlibat kemalangan

No Image Caption
A
A
A

NIBONG TEBAL - Lima kanak-kanak sebuah Tabika Kemas cedera selepas van yang mereka naiki bersama sembilan penumpang lain termasuk guru terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori simen di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Ampat, di sini hari ini.

Lima kanak-kanak berusia enam tahun itu mengalami kecederaan ringan dan mereka menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafee Abdul Samad berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 9.41 pagi itu turut menyebabkan pemandu lori simen berusia 63 tahun patah bahu selepas tersepit dalam kenderaannya.

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila lori dari arah Simpang Ampat Tasek hendak ke Bukit Tambun tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah bas rapid dan terbalik lalu menggelongsor melanggar sebuah kereta serta van dinaiki kanak-kanak tadika berkenaan yang sedang berhenti di lampu isyarat itu," katanya di sini hari ini.

Ketika kejadian katanya, van itu dinaiki lima penumpang dewasa dan sembilan kanak-kanak tabika dengan lima daripada mereka mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes di siasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Artikel Berkaitan: