Ragbi Piala Agong: Pahang selesa status bukan pilihan

Aksi pemain Pahang ketika menentang Selangor pada saingan peringkat kumpulan baru-baru ini. - Foto Wandiyazid M Rosli
Aksi pemain Pahang ketika menentang Selangor pada saingan peringkat kumpulan baru-baru ini. - Foto Wandiyazid M Rosli
A
A
A

JUARA Kumpulan A Divisyen Dua, Pahang menyifatkan pasukan itu selesa tampil dengan status bukan pilihan menjelang aksi menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada saingan playoff ragbi Piala Agong 2019 di padang A Universiti Putra Malaysia, petang ini.

Pengendali Pahang, Ahmad Farid Abdul Rahman mengakui skuad PDRM adalah pasukan pilihan pada pertemuan kali ini berdasarkan prestasi semasa kendalian Mazuri Salehuddin itu.

Menurutnya, beliau percaya PDRM dengan kombinasi mantap dalam kalangan pemain ditambah kekuatan pemain import akan memberikan tekanan kepada skuad Pahang.

Namun katanya, skuad kendaliannya itu bertekad akan memberi tentangan sengit seterusnya mencipta kejutan ke atas lawan mereka yang disifatkan cukup bersedia pada perlawanan ini.

"Kami telah menggunakan tempoh rehat beberapa hari lalu bagi memantapkan corak dan taktikal lagi permainan pasukan selepas mengharungi saingan peringkat kumpulan tempoh hari.

"Alhamdulillah, saya bangga dengan komitmen diberikan pemain-pemain Pahang pada kejohanan kali ini biarpun diakui mengambil sedikit masa mengumpul bagi sesi latihan," katanya kepada Sinar Harian.

Pahang menjuarai Kumpulan A Divisyen Dua selepas menewaskan Melaka 101-0, Selangor (43-15) dan Putrajaya (7-5).

Mengenai peluang pasukan itu mara ke pusingan seterusnya Ahmad Farid percaya Pahang mampu melakukan kejutan terhadap pasukan pilihan seperti PDRM berdasarkan semangat dipamerkan pemain-pemainnya sepanjang sesi latihan.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak minta banyak daripada pemain-pemain Pahang cuma mahu mereka fokus sepanjang tempoh perlawanan dan ikut setiap arahan daripada jurulatih.

"Pada masa sama pemain-pemain Pahang jangan sesekali memandang mudah terhadap PDRM apatah lagi leka kerana sebarang kesilapan bakal menyebabkan kita berputih mata," katanya yang turut memaklumkan pemain-pemain Pahang dalam kondisi terbaik bagi aksi petang ini.