Pepe selamatkan maruah Arsenal

Pepe muncul wira The Gunners dengan dua jaringan gol ketika menentang Vitoria de Guimaraes awal pagi tadi.
Pepe muncul wira The Gunners dengan dua jaringan gol ketika menentang Vitoria de Guimaraes awal pagi tadi.
A
A
A

PEMAIN termahal Arsenal, Nicolas Pepe muncul wira apabila jaringannya membantu The Gunners menumpaskan kelab Portugal, Vitoria de Guimaraes 3-2 dalam aksi Liga Europa di Stadium Emirates, awal pagi tadi.

Arsenal yang tampak bergelut dalam perlawanan itu ketinggalan seawal minit ke-8 menerusi gol Marcus Edwards sebelum Gabriel Martinelli menyamakan kedudukan pada minit ke-32.

Empat minit berselang, kelab gergasi Inggeris itu sekali lagi ketinggalan apabila Bruno Duarte menyambar bola yang terkena tiang untuk menjadikan kedudukan 2-1 sebelum separuh masa pertama berakhir.

Bersambung babak kedua, Arsenal terus buntu untuk mencari gol memaksa pengendalinya, Unai Emery memasukkan Pepe pada minit ke-75 dan pemain kelahiran Ivory Coast itu mencipta impak segera dengan gol pada minit ke-80.

Pada ketika perlawanan dijangka berakhir dengan keputusan seri, Pepe menjadi wira The Gunners apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.

Emery nyata gembira dengan persembahan yang ditunjukkan Pepe dan memuji ketajaman yang dipamerkan pemain berusia 24 tahun itu dalam membantu kemenangan Arsenal.

"Ia detik penting buat Pepe. Hanya dimasukkan 15 minit sebelum perlawanan tamat dan terus cetus impak. Satu momentum yang harus terus dikekalkan Pepe.

"Ketika dia menjaringkan gol ia bagus buat dirinya dan juga pasukan. Dia semakin bagus dan malam ini kredit perlu diberikan kepadanya dengan persembahan baiknya itu, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pepe menilai Arsenal tidak bermain bagus dalam perlawanan itu, namun gembira pasukannya berjaya meraih tiga mata berharga.

"Kami memulakan perlawanan dengan kurang baik, namun kami mampu mengejar dan bangkit dari ketinggalan. Ia menunjukkan kami mempunyai karakter.

"Menjaringkan gol adalah perkara bagus untuk saya meraih kepercayaan diri dan saya optimis mampu memberikan persembahan lebih baik selepas ini," katanya.

Arsenal ketika ini berada di kedudukan teratas Kumpulan F dalam saingan Liga Europa dengan sembilan mata.