Menyingkap semangat Dr Burhanuddin

DR BURHANUDDIN
DR BURHANUDDIN
A
A
A

DR BURHANUDDIN AL-HELMY pernah digelar ‘Bapak Kebangsaan Melayu’ oleh penulis Ahmad Boestamam. Malah, sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu tidak akan lengkap tanpa perjuangan golongan kiri yang di luar aliran utama sejarah kemerdekaan tanah air.

Almarhum ialah salah seorang tokoh. Walaupun tidak dicatatkan sejarah sumbangannya dalam rekod rasmi kemerdekaan negara ini, tetapi beliau dianggap sebagai pejuang kemerdekaan yang secara konsisten menentang penjajahan dan berjuang untuk penubuhan negara yang bersatu.

Falsafah itu diperjuangkannya melalui konsep Melayu Raya sebagai suatu cara bagi orang Melayu bersatu menjadi kuat dengan bergabung dengan semua keturunan Melayu Nusantara. Pandangan beliau itu dijelaskan dalam bukunya, Perjuangan Kita (1946) dan Falsafah Kebangsaan Melayu (1951).

Menyingkap latar belakangnya, Dr Burhanuddin atau nama penuhnya Amir Burhanuddin Ungku Muhammad Nor dilahirkan di Cangkat Tualang, Perak pada tahun 1911. Bapanya, Muhammad Nor berasal dari Batu Sangkar, Minangkabau, Sumatera, Indonesia dan ibunya pula seorang keturunan Arab. Pada awal pendidikannya, beliau belajar al-Quran dan agama di samping bersekolah Melayu.