Pegawai eksekutif kerugian lebih RM39,000

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang pegawai eksekutif sebuah kedai di sini berputih mata apabila kerugian kira-kira RM39,398 selepas diperdaya Macau Scam enam hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 51 tahun dihubungi ahli sindiket itu yang menyamar sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar mendakwa dirinya terlibat dalam kes langgar lari sehingga menyebabkan remaja 15 tahun meninggal dunia.

Menurutnya, mangsa diperdaya kononnya sewaktu kejadian remaja berkenaan menggunakan kereta sewa milik seorang lelaki sebelum panggilan itu disambungkan kepada pegawai polis yang dikenali sarjan Mahumad.

"Mangsa diberitahu dia bukan sahaja terlibat dalam kes langgar lari tetapi turut melakukan kes pengubahan wang haram berjumlah RM2.28 juta di Tampin, Negeri Sembilan.

"Selepas itu, mangsa dihubungi pula lelaki dikenali Ooi yang mintanya memberi kerjasama kepada pihak polis bagi menyelesaikan kes berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa menerima panggilan itu ketika berada di Nisan Sungai Rasah Service Centre Klang, Selangor kira-kira jam 10.30 lagi pada 18 Oktober lalu.

Katanya, pada 22 Oktober lalu, mangsa sekali lagi dihubungi seorang lelaki yang dikenali Tuan Mess memintanya membuka laman sesawang bagi semakan aset dan perlu mengisi butir dirinya di laman terbabit.

Katanya, mangsa mengisi butiran peribadinya di dalam aplikasi terbabit termasuk maklumat akaun Public Bank, CIMB Bank dan Maybank miliknya.

Artikel Berkaitan:

"Pada jam 8.15 malam hari yang sama, mangsa dihubungi oleh pihak Maybank security yang maklumkan ada pihak cuba menggodam akaun miliknya.

"Mangsa kemudian meminta pihak Maybank menyekat semua transaksi akaunnya bagaimanapun tiga transaksi telah dibuat membabitkan nilai RM39,398," katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Kuantan setelah merasakan dirinya diperdaya.

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, modus operandi yang dilakukan suspek dengan menyamar sebagai anggota polis dan memindahkan wang mangsa tanpa pengetahuan sehingga menyebabkan kerugian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.