Undur diri jika ada agenda politik: Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan mana-mana ahli jawatankuasa masjid dan penceramah bertauliah di negeri yang berpolitik kepartian di masjid untuk melepaskan jawatan mereka.

Baginda turut menegur ahli jawatankuasa masjid yang membenarkan aktiviti memecahbelahkan ahli kariah dilaksanakan di dalam kawasan masjid.

"Jika ada yang memiliki agenda politik dan cita-cita politik, baik dalam kalangan ahli jawatankuasa yang dilantik, begitu juga penceramah yang telah diberikan tauliah, mereka hendaklah secara jujur lagi ikhlas secara mulia lagi terhormat berundur diri daripada bersifat gunting dalam lipatan melakukan aktiviti-aktiviti yang menodai kesucian politik.

"Jawatankuasa kariah hendaklah pada setiap masa bersifat berkecuali daripada politik kepartian. Ceramah-ceramah yang berlangsung di dalam masjid dan surau hendaklah juga tidak memihak atau mencemuh mana-mana parti politik agar tidak menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli kariah," titah baginda sempena Persidangan Jawatankuasa Kariah Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya, di sini hari ini.

Hadir sama mengiringi baginda, Exco Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi mewakili Menteri Besar Perak; exco-exco kerajaan negeri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Baginda bertitah, sebagai pemegang amanah yang diberikan tanggungjawab mengurus masjid di Perak, mereka wajib memahami falsafah kewujudan serta peranan utama masjid sebagai institusi menyatupadukan ummah dan melindungi masjid daripada sebarang perbuatan mahupun percakapan yang boleh menodai kesuciannya.

Jelas baginda, sejak umat Islam di negara ini mula mengenali politik, masjid sentiasa menjadi tempat idaman untuk disemaikan pengaruh bagi mendapat laba politik.

"Disebabkan kelemahan pemantauan dan kawalan, pernah berlaku peristiwa sembahyang dua imam dalam satu masjid, serta ada masjid yang hanya dikunjungi oleh kumpulan politik tertentu tetapi dipulaukan oleh kumpulan politik lawan. Keadaan sedemikian sebenarnya telah menidakkan masjid memenuhi tujuan kewujudannya.

Artikel Berkaitan:

"Ahli-ahli jawatankuasa kariah, hendaklah membantu Beta, pada setiap masa melindungi masjid daripada dicemari oleh aktiviti yang boleh memecahbelahkan ahli-ahli kariah. Sedarilah! musuh utama yang berpotensi besar mencemari masjid dan memecahbelahkan ummah ialah kegiatan politik berpuak secara keterlaluan," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, ummah pada hari ini berpecah kerana budaya diamalkan untuk memancing pengaruh dan mendapatkan sokongan politik yang sangat bercanggah dengan ajaran serta nilai-nilai murni Islam.

Jelas baginda, tindakan mengaibkan dan memburukkan lawan dijadikan senjata utama dan semakin digalakkan mengatasi usaha-usaha untuk melakukan yang makruf.

Menurut Sultan Nazrin, fitnah kini menjadi lumrah diolah dengan penyebarannya dipermudahkan dan dirancakkan dengan adanya media sosial.

Dalam pada itu, baginda bertitah, terdapat pelbagai kaedah diusahakan pihak tertentu untuk menggunakan masjid sebagai tempat mencari laba politik termasuklah menggunakan pertubuhan tertentu.

"Akhir-akhir ini, individu-individu daripada kumpulan politik tertentu telah menggunakan beberapa pertubuhan bukan politik dan bukan kerajaan (NGO) untuk menembusi masjid dan memperkenalkan program tertentu untuk dijalankan dalam masjid dan dalam kawasan masjid.

"Program yang membawa jenama tertentu, dijadikan topeng untuk melindungi niat sebenar yang tersirat," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut memberi teguran kepada para penceramah yang gagal melaksanakan amanah diberikan.

"Amatlah janggal, jika para penceramah yang telah diberikan tauliah diberikan penghormatan untuk berceramah di dalam rumah ALLAH menyalahgunakan amanah yang diberikan dengan menyelitkan di dalam ceramah mereka unsur-unsur yang mencerca, menyindir dan merendahkan petugas-petugas Jabatan Agama Perak dan Polis Diraja Malaysia.

"Kalangan yang telah diberikan amanah sebagai jawatankuasa kariah, hendaklah bersifat tegas, bersifat bijaksana, tidak membenarkan diri mereka dimanipulasi atau diperalatkan oleh mana-mana kumpulan politik," titah Sultan Nazrin.

Sementara itu, Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa masjid pada zaman Rasulullah SAW berperanan sebagai pusat graviti, tempat tumpuan serta pusat kepada masyarakat dengan pelbagai urusan penting, penghakiman dan menjatuhkan hukuman, perbincangan, penyebaran ilmu dan amal jariah dilakukan di dalam masjid.

Baginda bertitah, secara kesimpulannya masjid merupakan tempat untuk menyatukan dan merapatkan hubungan silaturahim, mempertemukan pelbagai delegasi sama ada Islam atau bukan Islam.