Futsal AFF: Malaysia akhiri saingan di tangga tercorot

 Foto: FB Football Association of Malaysia (Official)
Foto: FB Football Association of Malaysia (Official)
A
A
A

SKUAD negara melabuhkan kempen Kejuaraan Futsal AFF 2019 dengan prestasi hambar apabila tewas kesemua perlawanan selepas dijinakkan tuan rumah Vietnam 4-2 pada aksi terakhir kumpulan B di Stadium Phu Tho, Ho Chi Minh City, Vietnam sebentar tadi.

Ia menjadi kekalahan ketiga berturut-turut buat skuad kendalian Chiew Chun Yong setelah memulakan saingan peringkat kumpulan dengan langkah kiri apabila tumpas kepada Indonesia 2-3 sebelum kecundang di tangan Australia 4-6 semalam.

Tuan rumah yang mempamerkan aksi bertenaga terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Nguyen Thanh Tin pada minit keenam sebelum Vu Duc Tung mengukuhkan kedudukan pada minit ke-26 untuk gol kedua Vietnam.

Begitupun Malaysia bangkit menyamakan kedudukan menerusi Abu Haniffa Hassan pada minit ke-33 dan Mohd Azwann Ismail (37') sebelum Vietnam mengesahkan kemenangan mutlak hasil jaringan Nguyen Minh Tri (39') serta Chau Doan Phat (40').

Malaysia sebelum ini pernah muncul naib juara dua kali berturut-turut pada Kejuaraan Futsal AFF 2017 dan 2018 selepas tewas kepada Thailand pada aksi final kedua-dua edisi berkenaan yang berlangsung di Ho Chi Minh City (2017) dan Yogyakarta, Indonesia (2018).

Artikel Berkaitan: