JKM cari ibu kandung, waris empat kanak-kanak

Dari kiri: Muhammad Iemier,Thea, Abdul Hafiz
Gambar bawah: Bayi kepada Sufiah
Dari kiri: Muhammad Iemier,Thea, Abdul Hafiz Gambar bawah: Bayi kepada Sufiah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur meminta ibu kandung dan waris kepada empat kanak-kanak tampil bagi urusan dokumen pengenalan diri dan proses penempatan.

JKM dalam satu kenyataan memaklumkan, seorang bayi perempuan berusia dua bulan ditinggalkan ibu kandungnya, Sufiah Abdul Wahab pada 4 September lalu.

Menurutnya, sehingga kini Sufiah gagal dikesan bagi membolehkan urusan dokumen bayi berusia dua bulan itu dibuat.

“Sufiah menghilangkan diri selepas melahirkan anaknya pada 29 Ogos lalu,” katanya menerusi kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, JKM turut mencari ibu kandung dan waris kepada Muhammad Iemier Aqief Abdul Rauf, 5; Thea,7; dan Abdul Hafiz Abdul Jabbar, 3.

Menurut kenyataan itu, Muhammad Iemier sebelum ini dijaga oleh pasangan suami isteri, Mohd Rozi Dasim dan Siti Julaiha Abd Moin.

Dia kemudian diserahkan kepada orang yang layak dan sesuai (OYLS), Mohd Haizeq Abd Moin dan Nur Amalina Khalid pada Jun lalu.

Kanak-kanak perempuan bernama Thea pula diserahkan kepada JKM pada tahun 2016 kerana tidak mampu untuk dijaga oleh penjaganya sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Kanak-kanak yang dijaga keluarga angkat sehingga berusia empat tahun ini tidak mempunyai sijil kelahiran dan tidak bersekolah. Tiada maklumat ibu kandung diperolehi.

“Mahkamah Bagi Kanak-kanak Kuala Lumpur telah mengeluarkan perintah Thea ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras, Kuala Lumpur selama tiga tahun iaitu sehingga 13 Oktober," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, JKM turut mengesan ibu kandung Abdul Hafiz bernama Siti Hajar Ismail, 23, yang ditempatkan di institusi JKM sejak lahir.

“Ibu kandung tidak pernah melawat mahupun bertanya khabar anaknya.

“Sehubungan itu, ibu kandung dan waris kepada semua kanak-kanak berkenaan diminta tampil ke JKM Kuala Lumpur di Tingkat 9, Grand Seasons Avenue, Jalan Pahang, Kuala Lumpur atau hubungi talian 0326124000 bagi memberikan maklumat berkaitan," katanya.