Mayat lelaki ditemui dalam longkang

Lokasi mayat mangsa yang ditemui di dalam longkang di Hospital Jengka di sini hari ini. Foto: Facebook Suara Warga Jengka
Lokasi mayat mangsa yang ditemui di dalam longkang di Hospital Jengka di sini hari ini. Foto: Facebook Suara Warga Jengka
A
A
A

MARAN - Mayat seorang lelaki ditemui di dalam longkang di hadapan Pejabat Pentadbiran Hospital Jengka di sini hari ini.

Mangsa, Amran Othman, 52, dari Taman Desa Jaya, Bandar Jengka di sini ditemui dalam keadaan mengiring oleh seorang kakitangan pejabat itu kira-kira jam 9.20 pagi yang kemudiannya bertindak menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, hasil temubual dengan isteri mangsa, suaminya ke hospital terbabit kerana urusan temu janji dengan doktor.

"Menurut isterinya, mangsa mempunyai pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung. Dia juga sentiasa mendapatkan rawatan di hospital ini.

"Hasil pemeriksaan fizikal terhadap mangsa tidak menjumpai apa-apa unsur jenayah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Jengka mendapati punca kematian adalah komplikasi jantung.

"Kes ini disiasat sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR)," katanya.

Artikel Berkaitan: