Peruntukan selenggara Jalan Persekutuan tertakluk kelulusan MOF

Baru Bian
Baru Bian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Terdapat pengurangan peruntukan bagi penyenggaraan berkala Lebuh Raya Timur Barat (FT04) pada tahun ini berbanding tahun lepas.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, sebanyak RM5.72 juta diperuntukkan bagi 2018 manakala setakat Ogos 2019 kementerian memperuntukkan RM2.98 juta bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, peruntukkan itu tidak termasuk RM2.38 juta setiap tahun bagi pelaksanaan penyenggaraan rutin seperti tampalan lubang jalan, memotong rumput, bersih perparitan dan sebagainya.

"Lebuh raya ini perhubungan utama yang menghubungkan Gerik, Perik sehingga ke Pasir Puteh, Kelantan melibatkan panjang jalan 115.95 kilometer.

"Kementerian sentiasa komited melaksanakan kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan khususnya lebuh raya ini terutama penyenggaraan berkala pavemen dan bukan pavemen.

"Pelaksanaan penyenggaraan ini tertakluk kepada kelulusan peruntukkan Kementerian Kewangan," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berhubung kerja penyelenggaraan dan pembaikan di jalan raya persekutuan di Kelantan yang menjadi laluan utama Pantai Barat dan Pantai Timur.

Dalam soalan tambahan, Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) bertanyakan adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk menurap dan memperbesarkan lebuh raya berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Baru berkata, beliau akan memberi maklum balas secara bertulis mengenai perkara tersebut.

"Setakat ini sudah dimaklumkan bahawa agihan peruntukkan di seluruh negeri tidak mencukupi.

"Walau bagaimanapun, kita akan melaksanakan penyelenggaraan mengikut keperluan dan keutamaan yang dibangkitkan kepada kementerian," katanya.