BN Pahang optimis rampas kembali kerusi kalah

Wan Rosdy (tengah) bersama sebahagian pemimpin masyarakat setempat yang hadir pada majlis itu di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di sini malam tadi.
Wan Rosdy (tengah) bersama sebahagian pemimpin masyarakat setempat yang hadir pada majlis itu di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di sini malam tadi.
A
A
A

BENTONG - Fenomena kekalahan Barisan Nasional (BN) di Bentong pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan parti itu hanya memenangi satu daripada empat kawasan termasuk tewas di kawasan Parlimen Bentong hanyalah bersifat sementara.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehubungan itu BN optimis mampu merampas kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang tewas bukan sahaja di Bentong tetapi di seluruh negeri pada PRU akan datang.

"Kalau kita lihat di Bentong, kita sebenarnya boleh menang tetapi kerana meletakkan calon UMNO dan calon Pas akhirnya orang lain yang menang.

"Jadi kekalahan kita bukanlah sebab rakyat tidak suka kepada BN tetapi kita silap strategi meletakkan calon UMNO dan Pas," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Pahang bersama pemimpin masyarakat setempat di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di sini malam tadi.

Hadir sama Pegawai daerah, Datuk Mohd Zulkifli Hashim; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Aida Munira Abdul Rafar dan Ahli Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Jasvir Singh Ram Singh.

Pada PRU lalu, BN berjaya memenangi sembilan daripada 14 kerusi Parlimen apabila tewas di Parlimen Bentong, Temerloh, Kuantan Indera Mahkota dan Raub.

Bagi kerusi DUN pula daripada 42 kerusi BN memenangi 25 kerusi, Pas (lapan), DAP (tujuh) dan Parti Keadilan Rakyat (dua kerusi).

Menurut Wan Rosdy, kerjasama antara UMNO dan Pas memberikan kekuatan kepada kerajaan negeri kerana kini mempunyai dua pertiga sokongan dalam DUN.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurutnya, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk meneruskan kerjasama dengan kerajaan pusat demi kepentingan rakyat.

Namun katanya, kerjasama antara kerajaan negeri dan Pakatan Harapan (PH) terbatas hanya kepada kepentingan rakyat dan tidak melibatkan kerjasama politik.