Spurs bidas kritikan dengan kemenangan

Kane meledak dua gol membantu kemenangan bergaya Spurs ke atas Red Star Belgrade awal pagi tadi. - Foto EPA
Kane meledak dua gol membantu kemenangan bergaya Spurs ke atas Red Star Belgrade awal pagi tadi. - Foto EPA
A
A
A

TOTTENHAM Hotspur berjaya meraih kemenangan ke atas kelab Serbia, Red Star Belgrade 5-0 dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi tadi.

Penyerang Spurs, Harry Kane percaya kemenangan tersebut menjawab segala kritikan yang dilemparkan kepada pasukan itu selepas mempamerkan aksi hambar dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

"Persembahan seperti ini yang perlu kami tonjolkan dalam perlawanan sebelum ini. Kami tahu dalam beberapa perlawanan terakhir, kemenangan tidak berpihak kepada Spurs dan ini detik terbaik untuk membalas setiap kritikan tersebut.

"Mereka dapat melihat keupayaan Spurs sekarang ini. Ia bukan soal kami kurang kompetitif musim ini sebaliknya kami memerlukan masa untuk kembali ke prestasi sebenar," katanya.

Dalam perlawanan itu, Kane dan Son Heung Min masing-masing menjaringkan dua gol manakala satu lagi gol dijaringkan oleh Erik Lamela.

Kemenangan ini menjadi hasil penting buat The Lily Whites selepas gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir termasuk dimalukan 2-7 oleh Bayern Munich pada perlawanan kedua Liga Juara-Juara dan ditewaskan 0-3 oleh Watford di Liga Perdana Inggeris (EPL), minggu lalu.

"Kami cuba keluar daripada kawasan kami dan menekan jauh ke kawasan lawan, faktor yang kami tidak ada dalam perlawanan sebelum ini. Sudah tentu saja kami perlu menjaringkan gol pantas, tetapi kami juga perlu memastikan gawang tidak bolos.

"Namun, perkara paling utama adalah kemenangan. Tetapi, kami masih perlu menempuhi jalan panjang dan semoga momentum ni dapat diteruskan bermula dari perlawanan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kane turut mengharapkan kemenangan besar ini akan menjadi motivasi terbaik buat Spurs dalam menghadapi Liverpool dalam aksi EPL, Isnin ini.

"Menentang Liverpool adalah perlawanan yang cukup sukar. Mereka memulakan saingan liga dengan baik dan tanpa kalah. Satya harap kami mampu mengejutkan mereka nanti," katanya.