Debaran menjelang Belanjawan Selangor 2020

Sivamurugan
Sivamurugan
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Selangor pastinya ternanti-nanti intipati Belanjawan Selangor 2020 yang akan dibentangkan oleh Menteri Besar, Amirudin Shari pada awal November ini.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2019 lalu, kerajaan negeri mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.56 bilion meliputi RM1.28 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.28 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Di samping itu, kerajaan negeri turut mengetengahkan beberapa pembaharuan yang menarik perhatian rakyat secara khusus.

Antara pembaharuan dibuat adalah pengenalan strategi klusterisasi atau pembangunan gugusan seperti Gugusan Industri Teknologi Tinggi dan Science Park, Gugusan Industri Aeropolis dan Aeroangkasa, Gugusan Industri Automotif dan Industri Sokongan, Gugusan Industri Sokongan Pelabuhan dan Maritim, Gugusan Industri Terpilih dan Industri Perkhidmatan, Gugusan Eko-Pelancongan, Gugusan Perikanan dan Akuakultur, Gugusan Pertanian dan Industri Asas Tani, Gugusan Ekonomi Bandar dan Gugusan Pendidikan.

Malah, Selangor yang terkenal dengan Inisiatif Peduli Sihat (IPR) turut melakukan penjajaran bagi skim berkenaan dengan menggunakan konsep daripada pemberian kepada pemberdayaan.

Amirudin sebelum ini menyatakan bahawa penjajaran IPR berkenaan perlu dilaksanakan bagi memastikan keberdayaan rakyat dapat dicapai dengan memberi fokus kepada golongan sasar yang memerlukan dan bukan diberi hanya secara purata.

Melalui pelaksanaan ini, tiga kompenan IPR iaitu Air Percuma, Skim Peduli Sihat dan Bantuan Am Kebajikan akan melalui penjajaran semula secara strategik bagi memastikan program tersebut lebih berfokus kepada golongan sasar dan memaksimumkan impak kepada rakyat.

Selain penjajaran, Kerajaan Selangor juga akan mula menggunakan sistem petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menentukan kadar pembayaran bonus bagi penjawat awam di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Melalui sistem tersebut, ia sekali gus menyaksikan tiada lagi pembayaran bonus secara langsung seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Menerusi Belanjawan 2020 nanti, penganalisis menjangkakan kerajaan negeri akan menambah baik pelaksanaan IPR di samping memberi penumpuan terhadap aspek pembangunan serta prasarana di negeri ini.

Penganalisis ekonomi, Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, Kerajaan Selangor juga dijangka bakal mengetengahkan belanjawan yang selari dengan Belanjawan Persekutuan yang baharu sahaja dibentangkan pada 11 Oktober lepas.

"Dari segi sumber kewangan, Selangor tidak mempunyai masalah berikutan mempunyai jumlah penduduk yang ramai malah projek-projek yang dilaksanakan di negeri ini juga banyak dan kedudukannya yang strategik turut berjaya menarik pelabur ke negeri ini.

"Disebabkan itulah, Selangor akan lebih menonjol berbanding negeri-negeri lain," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, pihaknya menjangkakan tiada sebarang perubahan besar bakal dilakukan Kerajaan Selangor menerusi pembentangan Belanjawan 2020 nanti.

Beliau berkata, kerajaan negeri dipercayai akan lebih menumpukan kepada pemerkasaan inisiatif-inisiatif sedia ada secara berterusan.

"Saya rasa perlu untuk mereka teruskan kesinambungan inisiatif sebelum ini, malah hubungan antara perangka laksana dan kumpulan sasar mestilah baik supaya kita dapat melihat keputusan yang positif," katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga mengharapkan Kerajaan Selangor dapat memberi penekanan terhadap aspek prasarana sejajar dengan misi mereka untuk menuju sebuah negeri pintar.