X

Kindly register in order to view this article
!

Atlet PDRM perlu jauhi perkara yang boleh mencemarkan PDRM

Abdul Hamid Bador
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengingatkan para atlet Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjauhi perkara negatif yang boleh memudaratkan diri sendiri dan pasukan.

Abdul Hamid berkata, atlet PDRM perlu menghindari daripada terjebak dengan bahan terlarang atau terlibat dalam perkara yang menjatuhkan maruah diri.

"Kita seharusnya menerapkan jati diri tinggi dan komitmen yang jitu dalam usaha melakarkan lebih banyak kemenangan demi kebanggaan diri sendiri, keluarga dan pasukan," katanya dalam ucapan pada majlis Anugerah Sukan PDRM di Pusat Latihan Polis, di sini, tadi.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu insiden di mana atlet yang mengharumkan namanya, namun terpalit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

"Apabila sampai tahap itu, penglibatan individu itu boleh mencemarkan PDRM, saya melarang sekeras-kerasnya dan akan memastikan pengurus sukan menjaga displin para atlet PDRM," katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hamid memaklumkan Majlis Sukan PDRM telah mengenal pasti atlet pelapis yang bakal meneruskan legasi kegemilangan PDRM di persada sukan.

"Saya difahamkan seramai 47 orang Konstabel lelaki dan wanita serta 31 orang Konstabel Sokongan lelaki dan wanita telah dilantik pada tahun lalu, melalui pengambilan khas," katanya.

Beliau percaya usaha berterusan oleh Majlis Sukan PDRM mampu melahirkan atlet berporspek emas bertaraf dunia.

"Saya berharap kita dapat mengembalikan kegemilangan PDRM yang gah dengan barisan atlet bertaraf antarabangsa seperti Deputi Superitenden Bibiana Ng Pei Chin dan Sarjan Nurulhuda Baharin dalam sukan menembak serta Sub Inspektor Sokongan Sazali Abd Samad dalam sukan bina badan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!