MAIWP diarah teliti, tangani isu mahasiswa kesempitan hidup: Mujahid

Dr Mujahid Yusof - Foto Bernama
Dr Mujahid Yusof - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah diarahkan membantu menangani isu pelajar universiti yang berdepan kesempitan hidup melalui kaedah bantuan zakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, situasi pelajar terpaksa berlapar dan tinggal di rumah sewa dalam keadaan bersesak termasuk dalam kategori fakir, miskin dan fisabilillah, iaitu golongan yang layak menerima zakat.

"Isu mahasiswa lapar, makan sehari sekali atau duduk bersesak-sesak lebih 20 orang dalam sebuah rumah akibat kesempitan hidup sudah tentu menjejaskan kualiti pendidikan pelajar terbabit.

"Berpandukan kepada realiti itu, institusi zakat perlu melihat sejauh mana kategori yang melayakkan seseorang menerima zakat digunakan bagi membantu mengurangkan beban mereka yang berkenaan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Bulan Zakat Kebangsaan di sini hari ini.

Sebuah akhbar melaporkan terdapat mahasiswa terpaksa bergelut membayar kadar sewa rumah yang tinggi di ibu negara hingga memaksa mereka berkongsi tinggal sehingga 20 orang dalam sebuah rumah.

Mujahid berkata, MAIWP perlu segera meneliti isu tersebut dan mengumpul maklumat terperinci supaya pelajar terbabit dapat dibantu.

Berhubung sama ada wang zakat digunakan untuk membina asrama atau membeli premis yang boleh dijadikan kediaman pelajar universiti yang mengalami masalah kewangan, Mujahid berkata, perkara itu adalah dibolehkan.

Buat masa ini, kata beliau, pihaknya perlu melihat keutamaan pelajar iaitu sama ada penyediaan rumah atau makanan.

Artikel Berkaitan:

"Persoalan bina asrama untuk mereka duduk lebih selesa terpulang kepada keutamaan termasuk kemampuan pusat zakat untuk mengadakannya tetapi dalam konteks penggunaan wang zakat, ia dibolehkan," katanya.

Mujahid berkata, dari segi makanan, pihaknya melalui Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah mempunyai program Food Bank di universiti iaitu antara langkah yang diambil dalam meringankan beban pelajar. - Bernama