[VIDEO] PANTUMN 2019 angkat kepentingan ulama

Peserta mendengar sesi taklimat pada Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara di Shah Alam semalam. - Foto Sinar Harian/IZARI ROSLI
Peserta mendengar sesi taklimat pada Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara di Shah Alam semalam. - Foto Sinar Harian/IZARI ROSLI
A
A
A

SHAH ALAM - [VIDEO] Bandaraya Shah Alam mencatat sejarah tersendiri apabila Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara (PANTUMN) bersidang buat kali ketiga.

Mengangkat tema 'Legasi, harapan dan cabaran ulama-ulama dalam mendepani arus globalisasi di rantau Nusantara', persidangan itu berjaya mengumpul lebih 50 kertas kerja daripada pembentang.

Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Prof Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, persidangan itu adalah aktiviti dwitahunan antara Pusat Pengajian Teras (PPT), KUIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah berjaya mengetengahkan ramai tokoh ulama daripada seluruh nusantara.

"PANTUMN kali ini merupakan kesinambungan PANTUMN 2017 yang membawa tema 'Peranan dan cabaran para ulama dalam institusi Islam di seluruh Nusantara'," katanya pada persidangan berkenaan di Hotel Grand BlueWave di sini.

Menurutnya, terdapat beberapa ulama tanah air turut hadir, antaranya Tok Selehor dan Tuan Guru Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dari Kelantan, Syeikh Abdul Malek Abdullah (Tok Ku Pulau Manis) dari Terengganu, Tuan Guru Haji Omar Zuhdi dan Tuan Guru Haji Salleh Haji Musa dari Kedah serta Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah.

Katanya, mereka antara nama yang cukup terkenal dalam mengangkat, mengetengahkan dan menyusuri sejarah ulama di pelosok nusantara.

"Tidak ketinggalan juga tokoh ulama silam yang tersohor seperti Raja Ali Haji, Hamzah Fansuri dan juga Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (Hamka)," katanya.

Beliau berkata, ulama nusantara berperanan besar dalam menyebarkan dakwah Islamiah dan memurnikan pemikiran umat Islam di seluruh rantau nusantara dalam pelbagai disiplin keilmuan melalui pendidikan dan keperibadian yang tinggi serta penghasilan kitab-kitab yang bermanfaat.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi wibawa dan dedikasi golongan ulama, maka lahirlah masyarakat yang berilmu dan bertamadun kerana ulama merupakan penyambung warisan kepimpinan Rasulullah SAW.

"Apabila diimbau peranan ulama pada zaman dahulu, jelas ulama memainkan peranan yang amat besar dalam hal ehwal pentadbiran kerajaan.

"Golongan ulama menjadi penasihat kepada Kesultanan Melayu, sekali gus membantu hal ehwal agama, pentadbiran, politik dan juga mengatur strategi ketenteraan bagi mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Ab Halim berkata, sumbangan mereka yang amat besar harus diberi perhatian, diwacanakan dan dijulang sebagai tokoh pejuang agar menjadi teladan kepada generasi hari ini dan pada masa hadapan.

Menurutnya, ulama juga berperanan sebagai seorang pendakwah yang menyeru masyarakat supaya mengikut jalan berlandaskan agama Islam.

"Pendakwah perlu mempunyai ilmu untuk menggunakan kata-kata yang baik dan menyebarkan dakwah dengan kasih sayang, bukan mengapi-apikan perbalahan atau konflik dalam masyarakat.

"Kemunculan ulama kontemporari turut menjadi cabaran pada hari ini sehingga timbulnya perbezaan pendapat dan pemikiran dengan ulama klasik.

"Persoalan mengenai pemikiran tidak dapat dielakkan disebabkan pelbagai faktor seperti perubahan zaman, masa dan tempat," katanya.

PANTUMN 2019 angkat kepentingan ulama kepada masyarakat

PANTUMN 2019 angkat kepentingan ulama kepada masyarakat Bandar Raya Shah Alam mencatatkan sejarah tersendiri apabila Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara (PANTUMN) bersidang buat kali yang ketiga pada kali ini dengan mengangkat tema 'Legasi, harapan dan cabaran ulama-ulama dalam mendepani arus globalisasi di rantau Nusantara, lapor wartawan Sinar Harian Muhammad Aminuralif Mohd Zoki.

Posted by Sinar Harian on Tuesday, October 22, 2019