Agong, Permaisuri saksi pertabalan Maharaja Jepun

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat ke Istana Imperial bagi menyaksikan Upacara Pertabalan Maharaja Jepun ke-126, Maharaja Naruhito semalam.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat ke Istana Imperial bagi menyaksikan Upacara Pertabalan Maharaja Jepun ke-126, Maharaja Naruhito semalam.
A
A
A

TOKYO - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah adalah antara 185 ketua negara dan kenamaan dari seluruh negara yang berpeluang menyaksikan Upacara Pertabalan Maharaja Jepun secara langsung di Istana Imperial di sini hari ini.

Upacara itu bagi pertabalan Maharaja Jepun ke-126, Maharaja Naruhito yang dimasyhurkan pada 1 Mei lalu. Kali terakhir upacara itu diadakan pada 1990 bagi ayahanda baginda, Maharaja Akihito.

Al-Sultan Abdullah yang mengenakan uniform Tentera Darat nombor satu, manakala Tunku Azizah berpakaian baju kurung warna merah jambu diiringi Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan ke upacara bersejarah negara matahari terbit itu.

Kehadiran Seri Paduka Baginda berdua adalah atas undangan kerajaan Jepun.

Maharaja Naruhito, 59, menaiki takhta selepas Maharaja Akihito, 85, melepaskan kedudukan tertinggi dalam hierarki pemerintahan negara itu atas faktor kesihatan, sekali gus menjadi maharaja pertama berbuat demikian kerana kebiasaannya pewarisan hanya berlaku selepas kemangkatan.

Pemasyhuran Maharaja Naruhito menandakan permulaan era baharu Jepun iaitu 'Reiwa' yang bermaksud harmoni dan tertib yang mengakhiri era 'Heisei' yang bererti mencapai keamanan di bawah pemerintahan Maharaja Akihito. - Bernama

Artikel Berkaitan: