Ramalan dan Amaran Banjir Negara beroperasi dalam RMK12: Xavier

Dr Xavier Jayakumar ditemui media di Parlimen. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Dr Xavier Jayakumar ditemui media di Parlimen. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Air, Tanah dan Sumber Air memberi jaminan Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) di seluruh negara akan disiapkan dan beroperasi sepenuhnya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, sebanyak 41 lembangan sungai di seluruh negara akan difokuskan dalam usaha kerajaan terus memantau status semasa curahan hujan dan aras sungai bagi menghadapi musibah banjir.

Menurutnya, PRAB merupakan merupakan program jangka panjang dan menyeluruh untuk tempoh tahun bermula tahun 2015 hingga 2022.

"Apabila siap kelak, pihak terbabit seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) negeri akan dapat melaksanakan simulasi banjir tujuh hari lebih awal serta dapat mengeluarkan amaran banjir dua hari lebih awal dari jangkaan banjir berlaku.

"Empat komponen utama PRAB merangkumi komponen pengesanan, Pusat Data Ramalan, Pemodelan Ramalan dan Hebahan Amaran," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Santhara (PH-Segamat) yang meminta kementerian itu menyatakan persiapan dan kesediaan kerajaan dalam menghadapi kemungkinan kejadian banjir yang akan berlaku di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak akibat Monsun Timur Laut dijangka bermula awak November dan berakhir pada Mac 2020.

Dr Xavier berkata, PRAB1 melibatkan tiga lembangan sungai iaitu Sungai Kelantan, Terengganu dan Pahang, yang mana ia masih sedang diuji jalan dan pengemaskinian data-data hidrologi dan data-data berkaitan bagi kegunaan model-model ramalan yang sedang dibangunkan manakala untuk Fasa 2 pula melibatkan 38 sungai di seluruh negara.

Menurutnya, kementeriannya sedang melaksanakan kerja-kerja kecil kecemasan luar jangka bagi menaik taraf sistem saliran dan struktur-struktur saliran dan ban pantai bagi mengurangkan kejadian banjir kilat dan banjir akibat limpahan air laut.

Artikel Berkaitan:

"Sebahagian kerja sudah siap dilaksana dan sebahagian kerja lagi sedang dijalankan dengan sejumlah RM22 juta diperuntukkan di seluruh negara bagi tahun 2019," katanya.