[DIKEMASKINI] 24 murid, lima guru SK Iskandar keracunan makanan

Semua mangsa keracunan makanan ditempatkan di pusat sumber sekolah untuk diberikan rawatan.
Semua mangsa keracunan makanan ditempatkan di pusat sumber sekolah untuk diberikan rawatan.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Seramai 24 murid dan lima guru Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar, Jalan Langgar dekat sini mengalami keracunan makanan selepas sarapan di kantin sekolah tersebut pada jam 7 pagi tadi.

Menurut sumber, semua mangsa mengalami sakit perut selepas dua jam makan nasi goreng, ikan bilis dan buah tembikai yang disediakan.

"Pengurusan sekolah menghubungi 999 untuk memaklumkan kejadian tersebut dan memohon bantuan kecemasan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar serta pasukan perubatan dari Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.

"Semua mangsa telah ditempatkan di pusat sumber sekolah tersebut sehingga pasukan perubatan sampai," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar telah menerima maklumat daripada Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah pada jam 11.30 pagi mengenai kejadian berkenaan selepas makan makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah itu.

"Siasatan awal Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar mendapati 24 pelajar (21 lelaki, 3 perempuan) berumur antara 8 hingga 12 tahun dan lima guru (seorang lelaki dan 4 perempuan) telah mengalami gejala muntah.

"Semua pesakit adalah stabil dan dirawat sebagai pesakit luar serta tiada kemasukan ke wad. Bilangan terdedah adalah seramai 29 pelajar dan enam guru. Makanan yang disyaki adalah nasi goreng yang dimakan sekitar jam 7 pagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, info berkenaan kesihatan telah diberikan kepada pelajar, pihak sekolah dan juga pengusaha kantin.

"Premis telah ditutup di bawah seksyen 18(1)(d) Akta Kawalan Penyakit Penyakit Berjangkit 1988. Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.