Lima nelayan Myanmar ditahan langgar syarat sah lesen

Bot nelayan Kelas C turut disita untuk siasatan lanjut.
Bot nelayan Kelas C turut disita untuk siasatan lanjut.
A
A
A

GEORGETOWN - Lima nelayan warga Myanmar ditahan bersama sebuah bot nelayan tempatan Kelas C di kedudukan 17 batu nautika dari Barat Daya Pulau Kendi oleh sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang kelmarin.

Pengarahnya, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, seorang daripada mereka adalah pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), tiga pemegang kad MRO (Mon Refugees Organization) manakala seorang tiada pengenalan diri.

Menurutnya, kesemua mereka yang berusia lingkungan 24 hingga 55 tahun itu ditahan kerana disyaki melanggar syarat sah lesen.

"Ketika bot peronda melakukan operasi rondaan Ops Pertiwi di sekitar perairan Pulau Pinang telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C melakukan aktiviti menangkap ikan dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan mendapati kelima-lima warga asing itu yang berada di atas bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985. Mereka ditahan bersama dua gulung pukat; dua papan tunda; ikan campur 300 kilogram (kg), ikan baja 300 kg," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya, kesemua tangkapan dan barangan sitaan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin di Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru asing tanpa surat kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Saya memberi peringatan kepada semua pengusaha bot nelayan tempatan agar memohon permit kerja untuk menggaji kru asing yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia. Sekiranya gagal, kita akan ambil tindakan tegas," katanya.

Artikel Berkaitan: