Nelayan PATI dorong jenayah di laut

Penguatkuasa APMM Selangor menggeledah kotak simpanan ikan dalam sebuah bot ditahan. - FOTO ASRIL ASWANDI
Penguatkuasa APMM Selangor menggeledah kotak simpanan ikan dalam sebuah bot ditahan. - FOTO ASRIL ASWANDI
A
A
A

PELABUHAN KLANG - [DIKEMASKINI] Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Selangor akan terus memperbanyakkan rondaan di kawasan jagaannya dalam usaha membanteras kegiatan nelayan tempatan yang menyalahgunakan lesen untuk menggaji nelayan warga asing.

Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, masih banyak kehadiran bot milik nelayan tempatan kategori bot kelas B1, B dan A dikesan menggaji tekong dan awak-awak warga asing untuk menangkap ikan di perairan Selangor termasuk kategori kelas C dan ke atas.

“Kerajaan sudah memberi peluang kepada bot nelayan kelas C dan ke atas untuk menggunakan nelayan asing tetapi dengan kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sementara bagi bot nelayan kategori kelas B1, B dan A pula tidak dibenarkan menggunakan nelayan warga asing langsung kerana nelayan tempatan mesti mengusahakan bot itu sendiri.

“Kita akui banyak nelayan tempatan masih menggunakan kru warga asing sedangkan perkara ini sudah dibincangkan oleh persatuan nelayan sendiri yang meminta kepada pihak berwajib supaya bot nelayan kategori kelas B1, B dan A dibolehkan menggunakan khidmat pekerja asing atas alasan tiada pekerja warga tempatan mahu bekerja sebagai nelayan.

“Tetapi selagi tidak ada hitam putih berhubung perkara itu, APMM akan terus membuat penguatkuasaan dengan lebih ketat. Jika perkara di atas bot itu dibiarkan, seolah-olah menunjukkan penguatkuasaan kita lemah.

“Lebih buruk orang tempatan itu menggunakan nelayan warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri atau lebih tepat pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.

Tambah Mohammad Rosli, pihaknya bimbang perbuatan menggaji nelayan asing PATI turut membuka kepada jenayah rentas sempadan lain terutamanya penyeludupan.

“Aktiviti ini memang APMM perlu banteras kerana dikhuatiri nelayan PATI melakukan jenayah rentas sempadan.

Artikel Berkaitan:

“Jika tidak dibendung, mereka mungkin boleh ambil peluang membawa masuk PATI lain dari laut hingga ke darat.

"Atau mereka juga mungkin digunakan sindiket untuk menyeludup dadah, rokok dan alkohol, “ tegasnya.

Bukan sahaja di perairan Selangor tetapi sememangnya isu bot nelayan tempatan menggunakan PATI itu antara permasalahan belum selesai secara tuntas di perairan negara.

“Mereka (pemilik bot tempatan) beri alasan terpaksa menggunakan khidmat nelayan warga asing sebab rakyat tempatan tidak berminat bekerja di laut menangkap ikan.

" Tetapi ini bukan alasannya dan APMM tidak akan berkompromi hanya kerana alasan tersebut, apatah lagi jika bot nelayan tempatan itu menggunakan PATI,” katanya.