Saya tak tunggu waktu tertentu, kata Salahuddin

Salahuddin bercakap kepada pemberita di Parlimen. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Salahuddin bercakap kepada pemberita di Parlimen. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu bersikap apologetik dan alergik dalam mengumumkan sebarang peruntukan kepada rakyat termasuk menjelang musim pilihan raya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tindakan beliau mengumumkan sebanyak RM3 juta bagi projek naik taraf tiga jeti nelayan di Parlimen Tanjung Piai kelmarin adalah tidak salah walaupun ditentang ahli Parlimen pembangkang.

Menurutnya, sebagai menteri, beliau berhak membuat sebarang pengumuman berdasarkan peruntukan yang diberikan kerajaan kepada kementeriannya asalkan ia dapat membantu dan menggembirakan rakyat.

"Mungkin Datuk Seri Najib Tun Razak baru belajar jadi pembangkang, jadi mungkin dia rasa bersemangat memperjuangkan isu rakyat tetapi apa yang kami lakukan bukan sahaja pada musim pilihan raya tetapi kami bekerja terus membantu rakyat.

“Kalau nelayan jatuh sebab jeti runtuh macam mana? Peruntukan sudah sampai, maka saya kena umumkan. Takkanlah hendak tunggu. Saya tidak alergik atau bersifat apologetik hendak umumkan peruntukan bila berlakunya pilihan raya,” katanya kepada media di lobi Parlimen.

Salahuddin berkata, banyak pihak tidak menyedari peruntukan yang disalurkan kepada pihak nelayan adalah atas permintaan bekas penyandang Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang sudah dijanjikan kepada rakyat sebelum ini.

Menurutnya, beliau sentiasa berbincang dengan Allahyarham Dr Md Farid mengenai masalah yang dihadapi rakyat di kawasan berkenaan.

“Saya dilahirkan di Tanjung Piai. Ia adalah kampung saya. Setiap minggu selepas balik dari Pulai, saya akan tidur di rumah saya. Setiap pagi kadang-kadang rakyat jumpa saya untuk menyatakan isu dan masalah mereka.

Artikel Berkaitan:

“Saya cuba penuhi, antaranya melibatkan jeti nelayan uzur dan masih tidak dibangunkan. Saya akan lakukan sepanjang masa (umumkan peruntukan). Saya tidak tunggu waktu tertentu,” katanya.

Terdahulu, Najib mendakwa kerajaan Pusat setakat ini telah mengumumkan projek bernilai RM7.3 juta dalam masa kurang seminggu menjelang PRK Tanjung Piai bulan depan.

Najib turut menyenaraikan tiga pengumuman projek oleh pemimpin PH sejak 15 Oktober lalu yang dilihat akan memberi manfaat kepada penduduk Tanjung Piai termasukkan pemasangan sebanyak 264 lampu jalan di jajaran jalan raya luar bandar Tanjung Piai dengan kos sebanyak RM127,776 dan geran bernilai RM230,000 untuk ketua kampung seperti yang diumumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk menaik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai serta peruntukan berjumlah RM3 juta untuk menaik taraf tiga jeti nelayan di kawasan berkenaan.