The Pocket Rocketman muncul Raja Pecut Asia

Azizulhasni - Foto fail
Azizulhasni - Foto fail
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang membuktikan beliau berada dalam kelas tersendiri apabila muncul sebagai Raja Pecut Asia hari ini.

Beliau meraih pingat emas acara pecut lelaki individu di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2020 yang berlangsung di Korea Selatan pada 17 hingga 21 Oktober ini.

Dalam aksi penentuan pingat emas yang berlangsung di Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jingcheon hari ini, pelumba berusia 31 tahun itu menewaskan pelumba Jepun Yuta Wakimoto 2-1.

The Pocket Rocketman yang tewas pada pusingan pertama, kembali bangkit memenangi pusingan kedua untuk mengheret perlumbaan kepada pusingan penentuan.

Sebaik loceng berbunyi, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu yang dikawal rapi oleh Wakimoto, melakukan kayuhan sekuat tenaga sekali gus meninggalkan pelumba Jepun di tempat kedua.

Terdahulu, Azizulhasni merekod masa 9.977 saat, iaitu keempat terpantas pada pusingan kelayakan.

Azizulhasni sebelum itu menyumbang pingat perak buat kem negara dalam acara keirin lelaki individu pada Jumaat lalu.

Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terlepas pingat gangsa apabila tewas 0-2 kepada pelumba Jepun Tomohiro Fukaya dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shah Firdaus menduduki tempat keenam selepas merekod masa 10.159s.

Dalam kategori junior pula, pelumba negara Ahmad Safwan Ahmad Nazeri terlepas pingat gangsa acara pecut individu apabila tewas 0-2 kepada pelumba India Rojit Singh Yanglem dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Terdahulu, Ahmad Safwan meletakkan diri dalam kelompok lima terbaik selepas merekodkan masa 10.560s dalam pusingan kelayakan. - Bernama