ICERD: Macam mana jadi isu politik pula?

Facebook Zainul Rijal Abu Bakar
Facebook Zainul Rijal Abu Bakar
A
A
A

SHAH ALAM - Bantahan terhadap pelaksanaan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bukan bermotifkan politik meskipun ada ahli politik yang mengambil kesempatan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata pihaknya sendiri telah membantah ICERD sejak pentadbiran kerajaan dahulu.

“Tahun 2013 semasa Semakan Berkala Sejagat (UPR) kami ke Geneva, bantah kerajaan meratifikasi antara lainnya ICERD ketika itu ramai ahli politik pembangkang dan kerajaan bersetuju dengan kami.

“Tahun ini semakan ketiga UPR Malaysia sekali lagi kami bantah namun ada pula yang kata bantah ICERD ini sebab politik. Dulu dan kini kami bantah, kerajaan pun berbeza. Macam mana jadi isu politik pula?

“ICERD bukan isu politik walaupun ada ahli politik mengambil kesempatan. Bagaimana ia dikatakan isu politik apabila parti politik sebelah kerajaan dan pembangkang juga sudah menyatakan tak setuju,” katanya melalui catatan di Facebook.

[ARTIKEL BERKAITAN: ICERD: Lebih baik tangguh]

Zainul berkata bantahan itu dibuat bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

“Kami menentang ICERD bukan bermakna reda atau bersetuju kezaliman dan penindasan dilakukan kepada mana-mana golongan tetapi mempertahankan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

“Perlembagaan Persekutuan telah pun memberikan jaminan perlu mengikut acuan negara kepada semua golongan bukan mengikut nilai sarwajagat yang tidak sesuai disemai di Malaysia.

“Formula yang sudah digarap lama ini terbukti mantap di Malaysia. Jangan ambil risiko kepada sesuatu yang belum pasti lagi,” katanya.

Katanya, semasa UPR pusingan kedua, kerajaan hampir menandatangani ICERD namun akhirnya dibatalkan setelah dilobi.

“Setelah lobi dibuat dan memberi justifikasi oleh pelbagai NGO dan pihak kerajaan ketika itu mengambil keputusan untuk mengkaji kesesuaian tandatangan ICERD (dalam konteks ini mengkaji itu bahasa diplomatik bermakna tolak).

“Status mengkaji itu kekal sehingga PRU14 tapi apabila usaha digembleng oleh beberapa menteri dengan kenyataan akan menandatangani ICERD (bukan lagi kajian) sebagaimana kenyataan Menteri Perpaduan serta Menteri Luar, sudah pasti NGO Islam tidak senang duduk dan membantahnya sekali lagi,” katanya.