Balak bernilai RM100,000 dirampas

JPNP berjaya merampas pelbagai jenis balak yang bernilai lebih RM100,000 di Hutan Simpan Ibam, Rompin. Gambar kecil: Mohd Hizamri
JPNP berjaya merampas pelbagai jenis balak yang bernilai lebih RM100,000 di Hutan Simpan Ibam, Rompin. Gambar kecil: Mohd Hizamri
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) merampas sebanyak 34 balak pelbagai jenis dianggarkan bernilai lebih RM100,000 ditebang secara haram dalam kawasan Hutan Simpan Ibam Rompin dipercayai bagi pasaran tempatan.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, empat jenis kayu yang telah dikenal pasti cuba dilarikan ialah meranti, kempas, nyatoh dan sepetir.

Menurutnya, itu antara yang dikesan semasa melakukan pemeriksaan di kawasan hutan simpan terbabit.

"Kita percaya aktiviti ini dijalankan sejak bulan lalah dan dipercayai dilakukan sindiket tertentu yang berpengalaman melaksanakan kerja-kerja hutan di daerah Rompin.

"Hutan Simpan Ibam terkenal dengan pelbagai jenis balak berkualiti tinggi dan harga mahal menyebabkan ia sentiasa menjadi tumpuan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengaut hasil secara salah dan menyalahi undang-undang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Turut disita sebuah jengkaut yang digunakan untuk memindah dan mengangkat balak terbabit ke dalam lori.

Beliau berkata, aktiviti pembalakan haram dilakukan kerana terdapat banyak jalan keluar boleh dilalui kumpulan pencuri bagi menebang dan sekali gus memindahkan balak dari hutan Simpan Ibam yang terletak berhampiran Felda Chini, Pekan.

Jelasnya, aktiviti terbabit dilakukan pada waktu malam dan apabila selesai menebang, mereka akan segera membawa keluar kayu dari hutan seterusnya ke kilang papan pada awal pagi.

Artikel Berkaitan:

"Taktik dan kaedah ini digunakan sindiket terbabit bagi melepaskan diri daripada diberkas pihak berkuasa dan biasa digunakan ialah aktif pada waktu malam hingga ke awal pagi," katanya.

Mengulas lanjut mengenai balak yang dirampas, Mohd Hizamri berkata, kesemua balak itu ditempatkan sementara di pekarangan pejabat hutan Muadzam Shah sebelum proses melelong dilakukan dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya bersama Pejabat Hutan Rompin akan menyekat kegiatan mencuri balak di negeri Pahang dengan pelbagai cara.

Jelasnya, selain sekatan jalan raya, unit penguatkuasaan Pahang Timur dan Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga akan melakukan rondaan dan intipan di setiap kawasan panas.

"Semua laluan keluar dari hutan simpan akan dipantau, jabatan juga akan bekerjasama dengan penduduk setempat dan masyarakat orang asli untuk mereka memberi maklumat sekiranya melihat kegiatan mencuri balak terutama pada waktu malam," katanya.