Liverpool bangkit ikat Manchester United di Old Trafford

Lallana meraikan jaringan penyamaan Liverpool ketika menentang Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford sebentar tadi. Foto: Premier League
A
A

PENDAHULU Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool melebarkan rekod tanpa kalah saingan liga apabila bangkit mengikat Manchester United 1-1 pada aksi di Stadium Old Trafford sebentar tadi.

The Reds kendalian Jurgen Klopp yang tampil ke laman The Red Devils berstatuskan rekod 17 kemenangan berturut-turut aksi liga termasuk lapan perlawanan musim ini diasak hebat anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer sebaik wisel permulaan.

Hasil asakan bertali arus jentera The Red Devils, Marcus Rashford berjaya meletakkan tuan rumah mendahului pada minit ke-36.

Gol terhasil selepas Rashford bijak melakukan tapping hantaran silang Daniel James untuk tuan rumah selesa mendahului 1-0 pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan menggandakan asakan ke gawang lawan bagi mencari gol, namun penyudah The Reds dan The Red Devils gagal menemui sasaran.

Pelawat kemudian melakukan pertukaran dengan memasukan Adam Lallana bagi menggantikan Henderson pada minit ke-71 dalam usaha mempertajamkan penyudah The Reds.

Akhirnya gol penyamaan dicari Liverpool muncul apabila Lallana berjaya menyudahkan hantaran Andy Robertson pada minit ke-85.