Mujahid beri penerangan konsep Rahmatan Lil Alamin kepada 13 Duta EU

Mujahid Yusof
Mujahid Yusof
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengadakan pertemuan dengan duta-duta Kesatuan Eropah (EU) bagi memberi penerangan dan berdialog tentang konsep Rahmatan Lil Alamin yang dibawakan pentadbiran Islam di Malaysia.

Seramai 13 duta EU, diketuai Duta dan Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez, hadir pada majlis malam bersama duta-duta Kesatuan Eropah itu yang berlangsung pada Jumaat lepas.

Mujahid berkata, penerangan berkenaan berkaitan gagasan Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia yang sejajar dengan hak asasi manusia sejagat.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mujahid berkata, majlis seperti itu akan sentiasa diteruskan bagi bertemu dan memberi penerangan bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi masyarakat di peringkat antarabangsa.

"Penting untuk kita berkongsi dengan mereka mengenai gagasan yang dibawa oleh pentadbiran kerajaan pada hari ini tentang Islam yang ramah dan rahmah bagi memberi aspirasi kepada semua pihak.

“Untuk mendidik dan membina keamanan, keharmonian merupakan tugas yang sukar tetapi ia suatu kerja yang berterusan," katanya dalam kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: