Perjuangan Selangor belum berakhir

Ifedayo (kanan) menghadirkan gerun buat pertahanan JDT pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam. - Foto JST
Ifedayo (kanan) menghadirkan gerun buat pertahanan JDT pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam. - Foto JST
A
A
A

PENGENDALI Selangor, B Sathianathan percaya The Red Giants mampu melakar kebangkitan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam pada 26 Oktober ini.

Menurutnya, kekalahan 1-2 pada aksi pertama menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam bukan titik noktah sebaliknya keputusan itu memberikan keyakinan untuk tampil lebih baik aksi timbal balik di laman sendiri.

"Ia satu petanda bagus (permainan bagus), tetapi kerja kami belum tamat dan ia belum berakhir. Kami perlu kerja keras berbanding apa yang kami lakukan pada hari ini untuk mendapatkan keputusan yang baik dan cuba untuk layak ke perlawanan akhir.

"Keputusan pada malam ini (semalam) memberikan kami keyakinan tetapi perlu lebih banyak usaha kerana anda semua tahu kualiti pemain yang ada pada pemain JDT,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, skuad Harimau Selatan membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 menerusi penyerang sensasi negara, Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-14 yang bijak melepasi perangkap ofsaid untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Kegembiraan tuan rumah hanya bertahan tiga minit apabila penyerang berbisa skuad Gergasi Merah, Ifedayo Olusegun menyamakan kedudukan pada minit ke-17.

Hasrat Selangor untuk mempertahankan kedudukan seri itu bagaimanapun tidak kesampaian apabila pemain import JDT, Leandro Velazquez meledak gol memukau dari luar kotak penalti pada minit ke-49 sekali gus melengkapkan kemenangan buat pasukan juara enam kali Liga Super itu.

Mengulas lanjut, Sathianathan mengakui pemainnya telah memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu terutama pada separuh masa kedua yang menyaksikan serangan bertali arus dilancarkan skuad Gergasi Merah.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, beliau menyifatkan kelibat dua tonggak import Sandro Da Silva dan Ifedayo Olusegun menjadi nadi penting dalam perlawanan tersebut.

"Saya ucapkan syabas kepada Sandro kerana bukan mudah untuk bermain lebih 75 minit selepas dia langsung tidak bermain selama dua bulan. Dia beraksi baik, dia mengawal bola dan berpengalaman.

"Saya juga perlu menyebut mengenai Ifedayo kerana dia beraksi sebagai seorang penyerang tunggal. Dia bekerja keras, kuat ketika menerima bola, menjaringkan gol dan hampir menjaringkan satu lagi gol. Saya suka apa dia lakukan hari ini terutamanya dari segi pergerakan," katanya.