Tun M, isteri hadiri Majlis Pelantikan Presiden Indonesia

Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah
Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah
A
A
A

JAKARTA - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Jakarta dalam lawatan kerjanya bagi menghadiri Majlis Pelantikan Presiden dan Naib Presiden Indonesia untuk penggal 2019-2024.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma, Jakarta, jam 10.51 pagi waktu Indonesia Barat (11.51 pagi waktu Malaysia).

Perdana Menteri dan isteri, disambut Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi Indonesia, Eko Putro Sandjojo serta Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Bakar.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengangkat sumpah pelantikannya di bangunan Parlimen Indonesia jam 2 petang ini selepas memenangi Pilihan Raya Presiden 2019 pada 17 April lepas.

Tempoh pentadbirannya bagi penggal pertama (2014-2019) tamat semalam.

Jokowi, 57, akan bergandingan dengan Naib Presiden baharu, Ma'aruf Amin, 76, selepas pasangan itu menang pada Pilihan Raya Presiden 2019, menewaskan pencabar mereka, pasangan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.

Zainal Abidin berkata, kehadiran Dr Mahathir itu adalah manifestasi kepada kekukuhan hubungan akrab kedua-kedua pemimpin dan negara dan pelantikan Jokowi untuk penggal kedua ini akan membawa lembaran baharu dalam mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Selain Dr Mahathir, seramai 17 pemimpin dan ketua negara luar turut hadir, antaranya Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen. - Bernama

Artikel Berkaitan: