X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia rakam terima kasih kepada Turki bantu urus jenazah Azalan

Orang ramai membantu membawa jenazah Allahyarham Azalan untuk disolatkan di Surau An Nur Seksyen 20 Shah Alam, hari ini. -Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Turki kerana membantu mengurus dan membawa pulang jenazah kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azalan Miswan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, proses membawa pulang jenazah Azalan dari Turki ke tanah air mengikut perancangan tanpa sebarang masalah.

"Urusan bawa pulang jenazah sangat mudah dan kerajaan Turki telah memberikan kerjasama yang baik...terima kasih kepada kerajaan Turki.

"Terima kasih juga kepada pihak PKNS yang menunjukkan komitmen mereka dalam menguruskan jenazah sehingga selamat pulang ke tanah air petang ini, " katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Azalan di Surau An Nur, Seksyen 20 di sini malam ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pihaknya akan berusaha membawa pulang 26 lagi kakitangannya pada hari Isnin ini.

"Kita jangka akan bawa 26 lagi kakitangan kita untuk pulang ke tanah air Isnin ini, manakala enam lagi yang mengalami kecederaan akan terus mendapatkan rawatan di hospital di Afyonkarahisar. Kkita akan bantu mereka sepanjang rawatan ini dan selepas mereka sihat dan baik, kita akan bawa mereka pulang," katanya.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di surau berkenaan selepas selamat tiba di tanah air dengan ditemani anak dan isterinya, kira-kira jam 6.30 petang tadi.

Jenazah Azalan kemudian dikebumikan Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, di sini.

Azalan maut selepas terlibat dalam kemalangan di Turki pada Rabu lepas, ketika menyertai rombongan kakitangan PKNS di Afyonkarahisar, Turki.

Bas itu dipercayai hilang kawalan lalu terbalik akibat keadaan jalan yang licin. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus