UMK disaran jalin kerjasama dengan anak Kelantan berjaya

Canselor UMK Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra yang menyempurnakan majlis penganugerah ijazah tersebut.
Canselor UMK Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra yang menyempurnakan majlis penganugerah ijazah tersebut.
A
A
A

BACHOK - Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra bertitah agar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menggandakan kolaboratif dengan pelbagai pemegang taruh dan rakan strategik merentasi negeri ini bagi memastikan universiti itu memberi impak yang lebih menyeluruh.

Baginda yakin kerjasama itu dapat digembleng menerusi komitmen khusus daripada anak Kelantan yang kini telah berjaya dan mencipta nama dalam bidang masing-masing di luar Kelantan.

“Beta arif bahawa rakyat Kelantan diaspora sifatnya dan mereka berjaya dengan gemilang di luar negeri Kelantan. Potensi dan kekuatan mereka perlu kita gemblengkan melalui komitmen yang khusus," titah baginda.

Justeru, baginda yang juga Canselor UMK berkenan sekiranya Yayasan Diaspora Kelantan ditubuhkan dan diurus setiakan oleh UMK

Baginda bertitah, UMK sudah membina kerangka dan strategi yang tepat untuk menghasilkan graduan dalam bentuk modal insan kelas tinggi dalam membangunkan masyarakat yang sejahtera dan berdaya saing demi mencapai kemakmuran bersama.

“Baginda yakin berasaskan realiti di peringkat global yang mendesak universiti agar memainkan peranan untuk menghasilkan modal insan yang boleh mencipta peluang pekerjaan.

“Beta amat menghargai sumbangan UMK khususnya kepada pembangunan sosioekonomi Kelantan. Beta dimaklumkan penganjuran Kongres Sosioekonomi Kelantan 2019 berjaya menghasilkan 75 resolusi penting yang mampu bersama membina negeri Kelantan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di Istiadat Konvokesyen UMK ke-9 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor UMK Bachok di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra turut berkenan menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Doktor Falsafah (Keusahawanan) kepada bekas Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Turut berangkat mencemar duli, Cik Puan Sofie Louise Johansson dan Pro-Canselor UMK, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob, Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Datuk Hussamuddin Yaacub, Ahli Lembaga Pengarah UMK, Dr Wan Farisan Wan Sulaiman, Mohd Nazri Mat Noor, Prof Dr Che Muhaya Mohamad dan Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail.

Titah baginda lagi, UMK sewajarnya memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi demi kesejahteraan hidup.

“Beta optimis bahawa kerangka keusahawanan UMK mampu membimbing masyarakat bukan sahaja untuk memperkasakan perusahaan mereka, namun dapat mengembalikan keuntungan kepada masyarakat dengan pelbagai cara yang kreatif.

“Antaranya adalah penglibatan komuniti miskin dan terancam dalam perusahaan sosial. Hal ini termasuklah juga menggalakkan mereka menyumbang dari aspek kewangan melalui sistem khusus, seperti sistem wakaf, 'endowmen' dan 'crowd funding'.

“Semua ini beta yakin, UMK mampu menjadi penerajunya,” titah baginda.

Justeru, baginda berharap UMK melancarkan dana endowmen agar boleh merancakkan lagi kelestarian kewangan dan penyertaan masyarakat sivil dalam institusi pengajian tinggi negara.

“Beta amat berbesar hati dengan Naib Canselor dan pasukan UMK yang proaktif membina 'road map' dan ekosistem Keusahawanan untuk mencapai matlamat UMK sebagai universiti keusahawanan.

"Hal ini termasuklah membina inisiatif berimpak untuk membudaya dan mengamalkan kriteria universiti keusahawanan kepada semua warganya,” titah baginda.

Dalam pada itu, seramai 2,062 graduan UMK menerima ijazah pada majlis yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 17 graduan Ijazah Doktor Falsafah, 38 graduan Ijazah Sarjana, 27 graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan 1,980 bagi Ijazah Sarjana Muda menerima ijazah masing-masing.