Haziq takluk Tangkak

Haziq (tengah) membuktikan kehebatannya apabila menjuarai kelas CP150 Kejuaraan Cub Prix 2019 di Litar Lumba Tangkak petang tadi.
Haziq (tengah) membuktikan kehebatannya apabila menjuarai kelas CP150 Kejuaraan Cub Prix 2019 di Litar Lumba Tangkak petang tadi.
A
A
A

RENTAK pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor semakin pantas apabila pelumbanya, Md Haziq Md Fairues memahat nama sebagai juara selepas menguasai perlumbaan akhir kelas CP150 pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 di Litar Lumba Tangkak, Johor hari ini.

Pada perlumbaan tersebut, Haziq menamatkan saingan dengan catatan masa 14:50.393 saat (s), sekali gus menghampakan pencabar terdekatnya, Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan masa 14:52.378s.

Tempat ketiga menjadi milik pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, Nazirul Izzat Md Bahauddin yang menamatkan saingan dengan catatan masa 14:52.792s.

“Terima kasih kepada seluruh kru pasukan yang telah menyediakan jentera terbaik buat saya mengharungi perlumbaan hari ini. Ini merupakan kemenangan pertama saya musim ini dan berharap momentum cemerlang ini berterusan dalam baki dua saingan lagi selepas ini,” kata Haziq.

Dengan kemenangan tersebut, Haziq kini menghuni tempat ketiga keseluruhan dengan meraih 93 mata manakala kedudukan pendahulu masih kekal menjadi milik Afif dengan 127 mata.

Sementara itu, pelumba ONEXOX SAG Team, Md Izzat Raduan meraih kemenangan pertamanya musim ini apabila muncul juara kelas Wira dengan catatan masa 9:32.068s.

Dua pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing pula menguasai posisi kedua dan ketiga, masing-masing menerusi Awal Al Fikri Yusni (9:35.899s) dan Md Adam Haikal Jahar (9:37.665s).

Begitupun, kedudukan keseluruhan masih kekal dimiliki Md Zaki Ahmad Zamri (MOS William #LLRKS CYT Racing) dengan kutipan 123 mata. Pada perlumbaan semalam, Zaki sekadar menduduki tempat keempat dengan catatan masa 9:38.395s.

Artikel Berkaitan:

Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 akan berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan pada 16 hingga 17 November depan.