PRK Tanjung Piai: Usia muda bukan kriteria utama calon Bersatu

Muhyiddin (tengah) pada sidang akhbar selepas Majlis Rela bersama Pemimpin di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Pontian, di sini hari ini.
A
A

PONTIAN - Usia muda bukan kriteria utama dalam pemilihan calon dari Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang akan mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, November ini.

Presiden Bersatu yang juga Pengarah Pilihan Raya PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, calon yang dipilih nanti perlu mempunyai berpengalaman, ketokohan, berpengetahuan dan mempunyai latar belakang yang baik.

Menurutnya, pihaknya kini sudah selesai menyenaraikan pendek calon yang dirasakan sesuai bagi kerusi itu seterusnya mempertahan Parlimen Tanjung Piai di bawah Pakatan Harapan (PH).

"Kita (pucuk pimpinan) sedang teliti calon yang ada pengalaman, ketokohan, latar belakang yang baik dan berpengetahuan. Semua ini kita ambil kira kerana calon paling utama boleh jalankan tugas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

"Bersatu akan umumkan calon sebelum akhir bulan ini," katanya pada pada Majlis Rela bersama Pemimpin di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Pengerusi PH Johor itu turut berpuas hati dengan gerak kerja jentera pilihan raya termasuk kajian sikap mengundi yang menunjukkan sentimen positif terhadap parti itu.

"Berdasarkan lawatan saya ke beberapa tempat di Parlimen Tanjung Piai petang semalam dan pagi tadi, sentimen rakyat kepada PH sangat baik.

"Walaupun sekarang ini masalah ekonomi dan sara hidup tidak dapat dinafikan tetapi keyakinan terhadap PH menunjukkan perkembangan positif," katanya.

Muhyiddin turut menyatakan terdapat trend kembali kepada PH berdasarkan lawatan di buat Srikandi di Tanjung Piai.

"Ada banyak faktor berlaku peningkatan keyakinan kepada PH.

"Walaupun dulu ada PRK di sesetengah kawasan ia tidak dapat disamakan kerana semangat di Johor ini berbeza.

"Mereka (rakyat Johor) agak yakin dengan pimpinan negeri dan pusat yang diterajui Tun Mahathir," katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 52 yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia pada 21 September lalu di Hospital Pontian akibat komplikasi jantung.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas).

Kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan 53,528 pengundi berdaftar pada PRU-14, memiliki komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.