MOA jamin tiada tanah pesawah dirampas

Tze Tzin (tengah) ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kumpulan Pengguna Air (KPA) 2019 hari ini.
A
A

BAGAN SERAI - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memberi jaminan pelaksanaan dasar penyatuan tanah sawah negara tidak akan mengubah status dan hak milik pesawah terlibat.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, dasar itu dilaksanakan adalah bagi merealisasikan pemodenan industri padi dengan menyatukan tanah sawah kecil yang tidak ekonomikal.

"Kita beri jaminan dasar itu tidak akan mengubah status dan hak milik pemiliknya. Mungkin ada pemilik bimbang tanah mereka akan diambil dalam melaksanakan dasar itu, tidak.. kita tidak akan mengubahnya.

"Dasar itu hanya membawa kepada pengurusan yang lebih besar dan bersistematik. Sudah pasti akan meningkatkan pengeluaran dan pendapatan pesawah selain merancakkan sektor pertanian terutama industri padi dan beras negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kumpulan Pengguna Air (KPA) 2019 bertemakan 'Petani Kita, Masa Depan Kita' melibatkan 180 peserta di Bukit Merah Laketown Resort di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari dan Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian, Ir Ahmad Darus.

Tze Tzin berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan empat model yang dikenal pasti sebelum dasar itu diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Kita masih mencari model baru sebelum dasar berkenaan dibuat. Model tersebut termasuk menumpukan kepada pesawah yang berupaya mengurus tanah mereka seluas lima hektar dengan cemerlang dan mampu meraih pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.

"Model lain adalah menggalakkan usahawan muda menyertai sektor tanaman padi yang membabitkan sawah seluas 50 hektar dengan pendapatan yang diunjurkan adalah RM15,000 sebulan. Memberikan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau sektor swasta sawah berkapasiti 200 hektar, 500 hektar sehingga 1,000 hektar untuk diusahakan selain model Felcra yang berjaya mewujudkan estet padi," katanya.