Hebahan air empangan Chenderoh dilepaskan tak benar

Hebahan palsu yang tular di media sosial hari ini.
Hebahan palsu yang tular di media sosial hari ini.
A
A
A
KUALA KANGSAR - Tiada pelepasan air dilakukan di Empangan Chenderoh, Kuala Kangsar sebagaimana hebahan yang tular dalam aplikasi WhatsApp hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisoner Razali Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan maklumat tular itu adalah palsu.

Menurutnya, semakan dibuat dengan pengurusan Stesen Janakuasa Chenderoh memaklumkan bahawa pelepasan air tidak sewenang-wenangnya dilakukan sebaliknya dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Kita minta orang ramai tidak membuat hebahan tanpa merujuk pihak berkuasa kerana dibimbangi menimbulkan rasa gusar dalam kalangan penduduk.

"Masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dengan sebarang khabar angin yang tidak disahkan," katanya.

Berdasarkan hebahan di aplikasi WhatsApp itu, pintu empangan akan dibuka pada jam 8 malam ini dan air yang dilepaskan sampai ke daerah Kuala Kangsar dalam tempoh empat jam.

Kandungan mesej itu juga meminta penduduk di kawasan tebing sungai dan mereka yang menjalankan aktiviti menangkap ikan berwaspada, selain turut disertakan talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar bagi memudahkan orang ramai mendapatkan pengesahan.

Sementara itu, Sejak 9 Oktober lalu, beberapa kawasan dalam daerah di negeri ini terjejas akibat banjir antaranya di Perak Tengah, Selama, Kinta, Sungai Siput, Muallim dan Batang Padang.

Banjir turut melibatkan pemindahan penduduk apabila kediaman masing-masing ditenggelami air selepas berlaku limpahan air sungai akibat hujan berterusan.
Artikel Berkaitan: