'Tiada sebab potong elaun'

Mukhriz (tiga dari kiri) menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Solar Berskala Besar 30 Megawatt Kuala Muda di Lot 322, Mukim Sungai Petani hari ini.
A
A

SUNGAI PETANI - Tiada sebab pemotongan elaun dikenakan terhadap menteri dan timbalan menteri yang didapati tidak hadir ke sesi Persidangan Dewan Rakyat.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau memahami setiap tugas yang dipertanggungjawabkan seperti mana beliau sendiri yang memegang dua peranan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.

Menteri Besar Kedah itu berkata, ketidakhadiran menteri atau timbalan menteri tidak menjadi persoalan asalkan pegawai kementerian hadir dan mencatit semua hujah perbahasan.

"Kita maklum masing-masing ada tugas di mana saya sendiri (Ahli Parlimen Jerlun) dengan Datuk (Ir) Amiruddin Hamzah (Ahli Parlimen Kubang Pasu) dan Datuk Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungai Petani) juga menjadi ADUN.

"Jadi, kami kena agihkan perkhidmatan kami di negeri dan nasional. Walaupun begitu, kami cuba sekerap mungkin untuk hadir ke sidang Parlimen," katanya ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Solar Berskala Besar 30 Megawatt Kuala Muda di Lot 322, Mukim Sungai Petani di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, sebelum ini, cadangan sama pernah disuarakan pembangkang semasa kerajaan BN memerintah namun tidak pernah dilaksanakan.

Terdahulu, Timbalan Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK), Haslihelmy DM Zulhasli melalui satu kenyataan di portal media menyarankan mana-mana ahli Parlimen termasuk menteri dan timbalan menteri yang didapati 'ponteng' atau tidak hadir ke sesi Persidangan Dewan Rakyat tanpa sebab perlu dikenakan tindakan pemotongan elaun.

Beliau berkata, cadangan pemotongan elaun itu pernah dikemukakan sebelum ini dan sudah sampai masanya ia dilaksanakan.

Dalam perkembangan berlainan, Mukhriz berkata, Kedah menjadi negeri pengeluar tenaga suria terbesar di Malaysia dengan kapasiti lebih 200 megawatt.

"Ini membuktikan seriusnya kerajaan negeri mengenai tenaga yang boleh diperbaharui melalui tenaga suria dan inilah sumbangan Kedah dalam mengurangkan penghasilan karbon dioksida," katanya.