Ummah dakwa ada usaha halang kempen BMF

Khalil Idham (dua dari kanan) ketika pelancaran Buy Muslim First Peringkat Masjid Negeri Perak di Masjid An-Nur, Batu 8, Hulu Kinta, di sini hari ini.
Khalil Idham (dua dari kanan) ketika pelancaran Buy Muslim First Peringkat Masjid Negeri Perak di Masjid An-Nur, Batu 8, Hulu Kinta, di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Gerak Pembela Ummah (Ummah) Perak mendedahkan terdapat usaha pihak tertentu menghalang kempen Beli Barangan Muslim Dahulu atau Buy Muslim First (BMF) di masjid-masjid di Perak.

Pengerusinya, Khalil Idham Lim Abdullah berkata, ada pihak menganggap kempen berkenaan bersifat politik sedangkan ia digerakkan atas kesedaran orang Islam.

Menurutnya, inisiatif kempen BMF disifatkan berupaya membantu memajukan ekonomi masyarakat Islam.

"Kita perlu ingat bahawa masjid ini bukan sahaja untuk beribadah seperti solat tapi masjid juga merupakan pusat aktiviti harian umat Islam termasuklah dalam muamalat atau berjual beli.

"Cuma kita melihat ada beberapa kekangan dalam kalangan ahli politik yang menganggap kempen ini rasis. Saya nak tegaskan, ini bukan rasis kerana dalam Islam itu ada orang Melayu, Cina, India dan Muslim itu merujuk kepada semua bangsa yang menganut agama Islam," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Buy Muslim First Peringkat Masjid Negeri Perak di Masjid An-Nur, Batu 8, Hulu Kinta, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria.

Khalil Idham berkata, kempen berkenaan merentasi budaya dan bangsa tanpa memboikot mana-mana pihak termasuk bukan Muslim, selain berjaya meningkatkan pendapatan usahawan Muslim.

Mengenai kempen berkenaan yang kini diperluaskan ke masjid, beliau berkata, pelancaran berkenaan merupakan satu inisiatif yang akan diperluaskan ke masjid-masjid di seluruh daerah di Perak selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita sasarkan sekurang-kurangnya satu masjid setiap daerah akan melaksanakan kempen ini setiap minggu pada hari Jumaat.

"Selain orang datang untuk solat Jumaat, mereka juga boleh menjalankan perniagaan," katanya.