MOA tiada masalah kongsi kepakaran tangani ASF: Sim Tze Tzin

Sim Tze Tzin -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Sim Tze Tzin -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) tidak mempunyai masalah untuk berkongsi kepakaran serta maklumat dalam membasmi penularan virus African Swine Fever (ASF) yang kini sudah merebak ke beberapa negara Asia.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata demikian susulan laporan mengatakan kerajaan Kemboja sedang mendapatkan bantuan daripada negara-negara yang mempunyai kepakaran dalam menangani penularan virus itu.

Beliau berkata, pihaknya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) membuat banyak persiapan sebagai persediaan menghadapi ASF sekiranya ia menular ke negara ini termasuk melakukan simulasi lapangan melibatkan satu latihan dengan modul senario direka bagi menguji potensi tahap kesiapsiagaan dalam membasmi penularan virus itu.

Sebagai contoh katanya, DVS baru-baru ini melaksanakan simulasi lapangan di mana satu latihan menggunakan senario dijana secara progresif dengan modul senario yang direka bagi menguji potensi tahap kesiapsiagaan dalam membasmi penularan virus itu.

"Simulasi itu dijalankan bersama jabatan dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) supaya kesemua mereka faham operasi yang perlu dilakukan jika ASF melanda negara ini.

"Setakat ini, Malaysia masih selamat daripada ASF. Jadi kepakaran dari segi simulasi atau latihan sebegini kita boleh tawarkan kepada kerajaan Kemboja jika mereka mahu," katanya pada sidang media di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pelabuhan Barat, di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, jika kerajaan Kemboja bersungguh-sungguh mahu Malaysia berkongsi kepakaran tersebut, mereka perlu membuat permohonan kepada Kementerian Luar Negeri (MOFA) terlebih dahulu.

Beliau memberitahu, pihaknya tiada masalah kerana mempunyai kepakaran dalam memerangi wabak penyakit termasuk berpengalaman mengendalikan wabak Nipah kira-kira 20 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Tze Tzin berkata, pihaknya menerusi Maqis terus giat mempertingkatkan lagi pemeriksaan di semua pintu masuk negara terutamanya di lapangan terbang dan sempadan Malaysia bagi memastikan tiada lagi daging serta produk babi dibawa masuk ke negara bagi menghalang risiko penularan ASF.

Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, bagi tempoh Januari sehingga September lalu, Maqis merampas 4.6 tan daging serta produk babi yang dibawa masuk secara 'hand carry' oleh pelancong dan rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara.

"Kita lihat kesedaran mereka masih kurang kerana ramai yang membawa masuk daging dan produk babi ini ke dalam negara.

"Sebelum ini, kita sudah haramkan import bagi menghalang risiko penularan virus itu dan kini akan meneruskan dengan pemeriksaan lebih ketat di semua pintu masuk negara sebagai langkah berwaspada," katanya.