Nahas bas: Wakil PKNS, waris diterbangkan ke Turki malam ini

Seorang rakyat Malaysia maut dalam satu kemalangan di Afyonkarahisar, Turki semalam. - Foto Bernama
Seorang rakyat Malaysia maut dalam satu kemalangan di Afyonkarahisar, Turki semalam. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menghantar empat orang wakilnya dan waris kepada Azalan Miswan, kakitangannya yang maut dalam kemalangan ke Turki pada malam ini.

Pengurus Komunikasi Korporat PKNS, Mahfizul Rusydin Abd Rashid dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, selain dari menguruskan urusan membawa pulang jenazah pekerja itu, wakil PKNS juga akan bertugas untuk memudahkan urusan kakitangannya yang tercedera.

Mahfizul Rusydin berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti empat orang kakitangannya yang mengalami kecederaan dan sedang di rawat di hospital tempatan.

"Tiga mangsa yang mengalami kecederaan patah tangan ialah Nor Afisah Ahmad Ferdaus, 50, Shamsul Bahrin Mohd Shukur, 55, dan Zurani Muhamad Darum, 50, manakala seorang yang mengalami kecederaan dalaman ialah Roslan Mohamed, 58," katanya.

"Nor Afisah dan Shamsul Bahrin dirawat di Hospital Afyonkarahisar manakala Zurani di Hospital Ozel Parkayat, Roslan pula menerima rawatan di Hospital Afyonkarahisar Saglik Bilimleri," katanya.

Kementerian Luar dalam satu kenyataannya hari ini mengesahkan seorang rakyat Malaysia maut manakala 10 yang lain cedera dalam satu kemalangan melibatkan bas yang membawa rombongan seramai 35 kakitangan PKNS di Afyonkarahisar, Turki.

Kemalangan kira-kira pukul 11.35 pagi semalam waktu tempatan itu menyebabkan bas pelancong dinaiki kumpulan rakyat Malaysia tersebut terbalik ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang rakyat Malaysia maut dalam kemalangan di Turki

Artikel Berkaitan: